Bernie Ecclestone mahu melihat Mick Schumacher mengikut jejak ayahnya, Michael, dalam menyertai perlumbaan Formula 1 pada masa akan datang.
Pelumba berusia 17 tahun itu akan beraksi dalam Kejohanan Formula Tiga Eropah tahun ini bersama pasukan Prema Powerteam selepas beraksi cemerlang bersama Van Amersfoort Racing dalam Formula 4.
Dengan penyandang juara F3 Eropah, Lance Stroll, bakal membuat penampilan pertama dalam F1 bersama Williams musim ini, aksi Mick menimbulkan spekulasi bahawa dia akan mengikut langkah ayahnya -- yang masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan serius di kepala pada tahun 2013 -- yang telah mendominasi F1 dengan rekod tujuh kejuaraan dunia.
Mick telah menyuarakan hasratnya untuk beraksi di peringkat tertinggi sukan permotoran satu hari nanti dan tokoh F1, Ecclestone, percaya F1 bakal menyaksikan kembalinya nama Schumacher.
Bercakap kepada Sport Bild, Ecclestone berkata: "Jika dia mampu menjadi sehebat ayahnya, mengapa tidak?
"Ia akan membawa kebaikan buat Formula 1 jika nama Schumacher kembali terpampang."
Ecclestone mahu lihat Mick Schumacher dalam Formula 1
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena