Eastcoast Rallying idam podium rali asahan bersama jentera baru

Karimah Mansor
Disember 23, 2024 13:29 MYT
Kehangatan kejuaraan rali Millennium Iconic Rally Championship 2024 yang akan melabuhkan tirai bagi musim ini mencipta sensasi tersendiri setelah Eastcoast Rallying mengesahkan penyertaan untuk turut sama berentap bersama 18 pasukan dari dalam dan luar negara bagi edisi terakhir ini.
Sejak penampilan terakhir di atas litar batu krikil(gravel) bagi pasukan rali dari pantai timur ini pada 2019 lalu, Eastcoast Rallying turut membuat kejutan dengan mempertaruhkan jentera pacuan 4 roda Subaru Impreza WRX Version 8 sebagai jentera baharu pasukan untuk beraksi bagi kelas M12 yang menjadi kategori tumpuan.
Dari kiri - Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki selaku pemandu dan pemandu arah Amir Izham bersama jentera Subaru Impreza WRX V8 yang menjadi taruhan baharu buat pasukan Eastcoast Rallying bagi memburu podium Rali Asahan di Melaka pada 21 dan 22 Disember 2024.
“Sebenarnya keputusan untuk mempertaruhkan jentera Subaru bagi perlumbaan gravel ini bukan satu keputusan mudah buat kami.
“Terdahulu jentera pacuan dua roda Proton Satria menjadi ‘ikon’ buat pasukan kami, namun setelah terlibat kemalangan sewaktu perlumbaan pada tahun 2019 kami mengalami kesukaran untuk mencari penajaan bagi perlumbaan seterusnya.
“Ketika itu prospek penaja-penaja lebih menunjuk minat sekiranya pasukan ini beraksi dengan jentera berjenama yang pernah beraksi di kejuaraan dunia.
“Setelah menimbang dari pelbagai sudut khususnya kos pelaburan yang lebih rendah berbanding jenama lain yang permah beraksi di pentas dunia maka kami memilih Subaru Impreza WRX Version 8 ini.
“Oleh itu kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Terexxa Sdn. Bhd, Impressive Logging Sdn Bhd, R&R Sports Speed Garage, Perotography dan Penyu Sukan yang sanggup memberi kepercayaan selaku rakan penaja bagi jentera baharu kami ini.
“Debaran sudah tentu ada memandangkan ini adalah pertama kali mempertaruhkan jentera pacuan 4 roda setelah hampir selama 8 tahun Eastcost Rallying mewarnai kalendar perlumbaan rali tanah air.” ujar Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki yang sehingga kini masih memandu bersama Amir Izham selaku pemandu arah bagi Eastcoast Rallying sejak diawal penubuhan pada 2017.
Kejuaraan Rali Asahan bertempat di Asahan, Melaka ini merupakan siri kedua perlumbaan rali di atas litar gravel yang dijenamakan sebagai Millennium Iconic Rally Championship 2024 di mana siri pertama perlumbaan ini telah berlangsung di Pontian, Johor pada November lalu.
Bagi kejuaraan Rali Asahan yang dijadualkan berlangsung selama dua hari penganjuran bermula pada 21 dan 22 Disember ini sehingga kini sebanyak 19 jentera perlumbaan termasuk sebuah jentera rali yang dari luar negara telah mengesahkan penyertaan.
Turut berentap adalah lagenda rali negara Karamjit Singh yang turut mempertaruhkan jentera Subaru Impreza bersama pasukan MRU Motorsports.
#Championship #Rali #2024 #Eascoast Rallying', #Iconic #Millennium #Rally
;