MOTOGP

Dovizioso yakin di Le Mans di sebalik rekod buruk

Penulis Jemputan 16/05/2019 | 03:22 MYT
Andrea Dovizioso optimis mLitar Le Mans.
Pelumba Itali itu tidak pernah memenangi perlumbaan di sana tetapi percaya Ducati akan berada di landasan tepat untuk sekurang-kurangnya meraih kedudukan yang lebih baik berbanding tempat keempat yang diraihnya di Jerez, awal bulan ini.
Dovizioso, yang sedang mengharungi musim terbaiknya apabila memungut 67 mata selepas empat perlumbaan, terbabas ketika mendahului perlumbaan tahun lalu tetapi saingan itu akhirnya dimenangi juara dunia, Marc Marquez.
Cuaca boleh memainkan peranan dengan litar basah dijangka berlaku dalam perlumbaan sebenar, Ahad ini.
Sehubungan itu, Dovizioso mahu mengambil segala peluang yang ada untuk mencabar pendahulu, Marquez.
"Saya yakin kami boleh memberikan tunggangan yang mantap di Perancis," katanya.
"Di Le Mans, kami harus lebih berdaya saing berbanding aksi di Jerez yang lalu dan sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan walaupun tahun lalu, ia tidak berjalan seperti yang dirancangkan dan ia bukan satu kenangan yang terbaik.
"Keadaan cuaca sentiasa memainkan peranan penting di Le Mans dan adalah penting untuk menanganinya agar ia dapat memberi kelebihan kepada kami.
"Saya menjangkakan akan mendapat tentangan sengit, jadi amat penting untuk bermula dengan langkah kanan sejak sesi pertama lagi dan mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk perlumbaan ini.
"Ducati mempunyai ciri-ciri yang boleh menguntungkan kami di Perancis, namun kami perlu menyusun beberapa butiran untuk memaksimumkan potensi dan memastikan segala perancangan berjalan dengan lancar, Ahad ini, iaitu ketika perebutan mata ditawarkan."
Penunggang Sepanyol mendominasi Litar Le Mans dengan tujuh kemenangan berturut-turut tetapi penunggang Yamaha, Valentino Rossi, yang menaiki empat podium di litar itu dalam tempoh lima tahun terakhir, juga muncul sebagai calon yang boleh menamatkan penguasaan mereka.
Penunggang kelahiran Itali berusia 40 itu mempamerkan kemajuan daripada segi kepantasan dan cengkaman tayar belakang jenteranya dalam sesi ujian di Jerez baru-baru ini, lantas memacu impiannya untuk meraih kemenangan dalam GP Perancis sejak 2008.
Rossi berkata: "Ujian di Jerez agak positif, saya berasakan kami boleh mencuba sesuatu di Perancis, hujung minggu ini. Le Mans merupakan trek kegemaran saya dan Yamaha, kami biasanya memberikan saingan di sana.
"Matlamat kami adalah untuk mengharungi hujung minggu yang baik, bekerja dengan baik sejak sesi latihan bebas pertama lagi dan mempamerkan kepantasan sejak hari pertama. Kami mempamerkan pecutan yang baik tahun lalu, jadi kami mahu mengulanginya.
"Saya berharap cuaca akan berlangsung baik pada hujung minggu ini agar kami dapat menunjukkan potensi penuh. Saya mahu kembali menaiki podium dan kami sepasukan akan saling bekerjasama dengan erat."
;