Skip to main content

Permotoran

Dovizioso tawan GP San Marino

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

dovizioso.jpg
Andrea Dovizioso muncul juara Grand Prix (GP) San Marino sambil pencabar terdekat, Jorge Lorenzo, terbabas dengan dramatik tatkala perlumbaan tinggal lagi dua pusingan.

Ducati kelihatan hampir memuktamadkan penguasaan satu-dua apabila Dovizioso memimpin perlumbaan di depan Lorenzo yang melakar rekod pusingan kelayakan semalam tetapi penunggang dari Sepanyol itu diberi tekanan oleh rakan sepasukannya pada masa depan, Marc Marquez, sebelum terbabas di selekoh kelapan.

Cal Crutchlow merampas kedudukan terakhir di podium susulan kesilapan juara tiga kali MotoGP itu yang memenangi perlumbaan terakhir di Austria dan meraih di petak hadapan GP British yang dibatalkan.

Kemenangan itu melonjakkan kedudukan Dovizioso untuk mengatasi Lorenzo dan Valentino Rossi yang mengalami kekecewaan di Litar Misano itu untuk menghuni tempat kedua senarai pelumba, begitupun lapan mata yang diraih Marquez mengukuhkan kelebihannya di puncak dengan mengumpul 67 mata.

Tiga penunggang itu bersaing sengit sehinggalah Marquez dipintas Lorenzo di selekoh ke-14 dengan saingan berbaki 13 pusingan yang menyaksikan dua penunggang Sepanyol tersebut saling mencabar hebat. 

Dovizioso mengambil sepenuhnya kesempatan tersebut untuk menjarakkan diri dengan kelebihan dua saat, namun rakan sepasukannya itu mula mengorak langkah untuk mencabar kedudukannya. 

Bagaimanapun, Lorenzo gagal mengekang tekanan lalu mencerahkan harapan Marquez untuk menjuarai gelaran MotoGP buat kali kelima di samping kali ketiga berturut-turut.

Jack Miller yang mengintai podium selepas berada dalam kelompok hadapan tidak kesampaian apabila terjatuh ketika perlumbaan bersisa tiga pusingan.

Rossi, yang terlepas perlumbaan tahun lepas akibat kecederaan kaki, pastinya mahu melupakan kemunculannya kali ini. 

Dia hanya mampu membimbing Movistar Yamaha meraih tempat ketujuh, dua kedudukan di belakang rakan sepasukan, Maverick Vinales.

Sementara itu, wakil negara, Hafizh Syahrin Abdullah,  menamatkan saingan di tempat ke-19. 

Dalam perkembangan sama, pelumba moto3 negara, Adam Norroddin, kembali meraih mata selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12.

Adam muncul satu-satunya pelumba Petronas Sprinta Racing yang menghabiskan perlumbaan -- pada suatu ketika berada di kedudukan lebih baik ketika perlumbaan berbaki lapan pusingan.

Menuju ke penghujung saingan, Adam gagal menyaingi kelompok hadapan pelumba dan terpaksa akur selaku pelumba ke-12 untuk meraih tambahan empat mata, lebih baik daripada sekadar di kedudukan ke-17 tanpa sebarang mata di Austria sebelum ini.

Advertisement

Must Watch Video