Saingan MotoGP kini terbuka luas selepas Andrea Dovizioso dari Itali mengejutkan juara dunia, Marc Marquez (Honda), dalam pusingan terakhir Grand Prix Jepun di Litar Twin Ring Motegi, hari ini.
Dovizioso meninggalkan Marquez dengan 0.249 saat dalam pertarungan sengit di dalam hujan untuk meraih kemenangan kelimanya musim ini, mengurangkan kelebihan pelumba Sepanyol itu kepada 11 mata dengan berbaki tiga perlumbaan musim ini.
Dovizioso mempamerkan aksi berani selepas bermula dari petak kesembilan apabila dia menyertai Marquez untuk mengejar pendahulu awal, Danilo Petrucci.
Dua pencabar kejuaraan itu memecut memintas penunggang Ducati itu pada pertengahan perlumbaan sebelum bersaing hebat sesama sendiri di dalam hujan yang menjadikan saingan bertambah sukar.
Dua kali Dovizioso memotong Marquez dan dua kali juga Marquez memperagakan aksi garang untuk kembali mendahului ketika juara dunia tiga kali itu memasuki pusingan kedua terakhir sebagai pendahulu.
Bagaimanapun, ketika Marquez di ambang kemenangan ketiga berturut-turut, penunggang Sepanyol itu tersalah langkah pada pusingan terakhir, sekali gus membenarkan Dovizioso peluang untuk memintas di selekoh 11.
Ketika Dovizioso melintasi garisan penamat menerusi kemenangan mendebarkan itu, ia mencetuskan sambutan menggamatkan di garaj Ducati.
"Saya sedar saya mempunyai peluang terakhir di selekoh 11 tapi dia menekan dan melakukan kesilapan," kata Dovizioso.
"Saya mengambil selekoh dengan sempurna di selekoh 10 dan dia melakukan kesilapan, jadi saya mampu mengejarnya."
Marquez masih unggul dengan 244 mata berbanding 233 oleh Dovizioso, manakala pelumba Yamaha dari Sepanyol, Maverick Vinales, di tangga ketiga keseluruhan dengan 203 mata.
Keputusan GP Jepun
1. Andrea Dovizioso (Ducati) 47:14.236
2. Marc Marquez (Repsol Honda) +0.249s
3. Danilo Petrucci (OCTO Pramac Racing) +10.557s
4. Andrea Iannone (Suzuki Ecstar) +18.845s
5. Alex Rins (Suzuki Ecstar) +22.982s
6. Jorge Lorenzo (Ducati) +24.464s
7. Aleix Espargaro (Aprilia Racing Team Gresini) +28.010s
8. Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) +29.475s
9. Maverick Vinales (Movistar Yamaha) +36.575s
10. Loris Baz (Reale Avintia Racing) +48.506s
11. Pol Espargaro (Red Bull KTM Factory Racing) +56.357s
12. Katsuyuki Nakasuga (Yamalube Yamaha Factory Racing) +60.181
13. Sam Lowes (Aprilia Racing Team Gresini) +60.980s
14. Hector Barbera (Reale Avinitia Racing) +63.118s
15. Tito Rabat (EG 0,0 Marc VDS) +63.514s
Kedudukan Pelumba
1. Marc Marquez (Repsol Honda) 244 mata
2. Andrea Dovizioso (Ducati) 233 mata
3. Maverick Vinales (Movistar Yamaha) 203 mata
4. Dani Pedrosa (Repsol Honda) 170 mata
5. Valentino Rossi (Movistar Yamaha) 168 mata
Penulis Jemputan
Sun Oct 15 2017