MOTOGP
Dovizioso akui bergelut saingi Marquez
Andrea Dovizioso mengakui Ducati masih lagi bergelut untuk menyesuaikan diri dengan corak perlumbaan Marc Marquez dalam saingan MotoGP musim 2019.
Marquez mudah meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam Grand Prix Republik Czech semalam, meraih kemenangan ke-50 kelas perdana di samping mendahului Dovizioso dengan kelebihan 63 mata.
Walaupun Dovizioso mengikut rentak Marquez dalam 11 daripada 20 pusingan di Automotodrom Brno, juara bertahan itu terus mempamerkan tunggangan cemerlang sebelum menamatkan perlumbaan dengan lebihan 2.4 saat.
Dovizioso, yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk menamatkan kemarau tiga perlumbaan tanpa meraih podium, berpuas hati dengan persembahannya dalam separuh pertama musim ini tetapi mengakui sukar untuk menggugat Marquez.
"Ia merupakan perlumbaan yang aneh. Kami memulakan perlumbaan dengan sempurna," kata Dovizioso. "Kami melakukan semua perkara dengan maksimum.
"Tetapi dia meningkatkan lagi tempo perlumbaan dan saya gagal mengekorinya. Saya sangat gembira kembali ke podium."
Marquez mendahului perlumbaan daripada pusingan pertama semalam, aksi cemerlangnya dalam saingan kelayakan membenarkan pelumba berusia 26 tahun itu berada di landasan untuk merangkul gelaran dunia buat kali ketujuh.
Pelumba Repsol Honda itu berkata, "Saya sangat gembira kerana ia merupakan minggu yang gila. Pasukan telah melakukan tetapan yang baik dan membantu saya meraih kemenangan.
"Strategi kami sangat jelas, memberikan tekanan sejak permulaan perlumbaan hingga pusingan terakhir."