Doa ibu ayah iringi kejayaan saya -- Nur Hazlinda
Ammar Hakim
Disember 16, 2024 16:55 MYT
Disember 16, 2024 16:55 MYT
Penjaga gol skuad hoki B21 negara, Nur Hazlinda Zainal Abidin, mendedikasikan kejayaan merangkul penjaga gol terbaik dalam Kejohanan Piala Remaja Asia Wanita 2024 buat keluarga yang berakhir semalam.
Kejayaan Malaysia mengatasi Thailand 6-0 memastikan mereka menempah slot ke Piala Dunia, tahun depan.
Penjaga gol skuad negara, Hazlinda, turut memperoleh kejayaan peribadi apabila dinobat sebagai penjaga gol terbaik Asia.
Mengakui tidak menjangkakan memperoleh pencapaian tersebut dan kini kini mengalih tumpuan kepada Piala Dunia Remaja di Chile.
"Bersyukur dan gembira atas kejayaan ini. Saya tak menjangkakan langsung yang saya akan dapat penjaga gol terbaik kerana sebab masih ada lagi pemain dari pasukan lain yang menunjukkan prestasi yang cemerlang," katanya
"Tetapi dalam masa sama, saya tetap bagi yang terbaik untuk membantu pasukan remaja wanita Malaysia agar mereka layak untuk ke Piala Dunia.
"Kejayaan ini sesungguhnya untuk ibu ayah dan keluarga saya, mereka sentiasa memberikan sokongan kepada saya tidak kira apa pun berlaku. Selain itu, kejayaan ini juga untuk penyokong hoki tanah air yang selalu memberikan kata kata positif pada pasukan wanita Malaysia dan jurulatih-jurulatih yang banyak membantu saya.
Hazlinda berkata lagi, "Salah satu sebab yang saya rasa menjadi asbab kejayaan saya ini ialah atas doa ibu ayah saya yang selalu mengiringi kejayaan saya.
"Selain itu, mungkin disebabkan kesabaran saya menghadapi setiap ujian yang berlaku pada diri saya beberapa tahun lalu.
"Contohnya, saya telah mengalami detik hitam dimana keluarga saya harus menerima hakikat bahawa bidadari syurga kami iaitu ibu saya mengalami strok.
"Saya yakin dengan asbab saya jaga ibu saya waktu siang dan malam menjadi asbab penuh kepada kejayaan saya kali ini. Syukur sangat-sangat."
Berbicara tentang masa depan dalam sukan hoki, Hazlinda berkata, "Sasaran selepas ini, saya akan lebih fokus untuk kejohanan bagi pasukan kebangsaan pada tahun depan di mana ada beberapa kejohanan penting seperti Piala Negara-Negara dan Sukan SEA.
"Saya tidak fokus pada pasukan remaja pada tahun depan bagi kejohanan Junior World Cup atas faktor telah melebihi umur 21 tahun."