Terengganu Cyling Team (TSG) baru sahaja memastikan Kejuaraan Jelajah Asia buat kali keenam, kali keempat berturut-turut dan kini telah memasang impian untuk meneruskan kecemerlang mereka bagi musim 2025.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus, yang sempat ditemubal Stadium Astro, berkongsikan perjalanan pasukan berbasikal benua tertua Asia itu menjadi pasukan terbaik di Asia.



"TSG merupakan pasukan yang telah ditubuh oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2011 dan merupakan pasukan benua tertua di Asia. Pertama kali kami bergelar juara Asia adalah pada tahun 2012, kemudian pada 2019 seterusnya melakar kemenangan berturut-turut dari 2021, 2022, 2023 dan 2024.

"Ia menandakan kemenangan yang keenam dalam tempoh 13 tahun.

"Bagi memastikan kami berjaya mempertahankan kejuaraan Asia, TSG telah menyertai 39 kejohanan dalam dan luar negara. Dan kebanyakan adalah perlumbaan yang bertaraf profesional. TSG telah memperoleh 89 podium secara keseluruhan.

"Penyertaan Jelajah Turkiye 2.Pro menjadi faktor terbesar dalam kejayaan menerusi Merhawi Kudus, yang memperoleh tempat kedua keseluruhan individu, dan tempat keempat keseluruhan individu menerusi Metkel Eyob sekaligus membantu pasukan menamatkan saingan di tempat kedua secara keseluruhan.

"Kami meletakkan sasaran untuk mempertahankan gelaran Asia bagi edisi tahun hadapan."

Mengenai kebarangkalian untuk TSG beralih daripada pasukan benua kepada pasukan profesional, Nasiruddin berkata, "Kami telah menjalani perbincangan mengenai langkah ini. Namun kami mengambil keputusan untuk kekal dalam kategori pasukan benua kerana kategori pasukan profesional memerlukan dana yang besar mencecah ASD10 juta. Jadi buat masa ini, TSG masih belum mendapat tajaan yang besar untuk melangkah sebagai pasukan profesional.

"Inisiatif TSG untuk mempertahankan gelaran akan datang, TSG akan berusaha mendapatkan lima lagi pelumba baru dan antaranya merupakan atlet yang bertaraf profesional. Penstrukturan semula turut akan dijalankan sebagai langkah yang lebih penting bagi memastikan terus mengimbangi kemampuan pasukan lawan."