HOKI
Dhaarma tagih khidmat Norbaini
Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, dalam dilema untuk menggunakan khidmat penyerang tengah, Norbaini Hashim, menjelang pusingan kedua Liga Hoki Wanita Dunia bermula 14 Januari ini meskipun pemain itu masih belum cergas sepenuhnya.
Norbaini yang mula menyarung jersi skuad negara sejak 2005 memiliki kemahiran mengelecek yang tinggi dengan sentuhan penyudah yang bagus.
Namun, Norbaini mengalami kecederaan di lutut kiri tahun lalu ketika perlawanan persahabatan menentang Australia.
Justeru, Dhaarma harap pemain itu bingkas bangkit agar dapat menempatkan diri dalam skuad utama.
"Apa yang saya lihat, dia sedang cuba mempercepatkan proses pemulihan kecederaan dan cuba kembali menyertai pasukan.
"Tetapi apa yang perlu dia lakukan adalah berikan aksi baik apabila kami menjalani aksi persahabatan menentang Ireland dan Wales, dan selepas itu dia mungkin mempunyai peluang untuk kembali," jelas Dhaarma.
Bagaimanapun, tersisih hampir enam bulan sehingga terlepas beberapa aksi penting seperti Trofi Juara-Juara Asia dan Liga Hoki Australia 2016 menyukarkan sedikit peluang Norbaini.
Namun, gadis berusia 29 tahun ini gigih meningkatkan kembali kecergasannya dan menyimpan hasrat untuk menyarung jersi kebangsaan menjelang Liga Hoki Dunia Wanita.
"Sepanjang saya menjalani proses pemulihan, saya ada juga melakukan latihan tambahan bagi menguatkan fizikal dan kecergasan," ujar Norbaini.