Dato' Zuraidi buka langkah awal lahirkan jaguh silat dunia
Shaiful Shamsudin
November 2, 2024 20:12 MYT
November 2, 2024 20:12 MYT
Hasrat untuk melahirkan jaguh silat menjadi titik tolak penaung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Kedah, Dato' Zuraidi Rahim, untuk menganjurkan sebuah kejohanan membabitkan pesilat muda berskala antarabangsa bangsa.
Seramai 2,000 peserta termasuk kanak-kanak bertarung dalam edisi sulung dalam Kejohanan Silat Terbuka Kebangsaan dan Antarabangsa: Piala Dato' Zuraidi di Stadium Abdul Halim hingga Isnin ini.
Thailand menghantar penyertaan paling ramai; 21 pesilat yang berumur dari 8 hingga 12 tahun selain wakil dari Indonesia.
Zuraidi menjelaskan melahirkan jaguh yang mampu mengharumkan nama negara secara global menjadi aspirasi.
"Saya mahu legasi-kekuatan baru untuk tunjuk bahawa persilatan boleh sumbangkan pingat di peringkat antarabangsa.
"Untuk mendidik pelapis, kami kena gilap. Begitu juga di peringkat remaja dan dewasa.
"Dulu silat banyak memberikan pingat dalam Sukan SEA. Ini antara elemen yang membuatkan saya lebih semangat.
"Selepas 20 tahun hilang, saya nak buat (kejohanan) di Kedah. Dulu anak-anak Kedah ramai jadi jaguh dunia.
"Silat antarabangsa (ketika ini) didominasi Indonesia. Tapi Malaysia juga tidak kurang gahnya cuma kita perlu menyediakan prasarana yang lebih baik, pendekatan dan tempat yang lebih baik serta agresif untuk yakinkan atlet lakar kejayaan lebih baik.
"Saya mesti ada satu keyakinan, pendekatan yang baik untuk anjurkan pertandingan pilih bakat baru bagi meneruskan (tradisi) juara antarabangsa," katanya yang hadir sebagai tetamu Nadi Weekend sebentar tadi.