Daripada permainan simulasi bawa Naquib Azlan bergelar jaguh Toyota Gazoo Racing
Saufi Tahir
Januari 20, 2025 20:40 MYT
Januari 20, 2025 20:40 MYT
Juara Super Sporting TGR musim ketujuh, Naquib Nor Azlan, menjelaskan dirinya turut bermula daripada sekadar bermain permainan simulasi hingga memacu dirinya menjadi pelumba kereta yang sebenar.
Dia turut berpandangan Kejuaraan Toyota Gazoo Racing (TGR) sangat istimewa buat dirinya kerana semua pemandu perlu berlumba menggunakan jentera sama dan hanya perbezaan daripada aspek pelumba dan pasukan sahaja yang membezakan juara.
"Musim lepas akhirnya saya dapat muncul juara keseluruhan, sejak hari bermula itulah impian saya. Antara kejuaraan di Malaysia ini, Toyota Gazoo Racing (TGR) ini istimewa kerana semua gunakan kereta sama tetapi hanya berbeza pelumba dan pasukan.
"Sebenarnya pelumba yang bermain permainan simulasi ini ada impian untuk menjadi pelumba sebenar, saya juga begitu. Kejutannya, apa yang kami buat dalam perlumbaan sebenar hamper sama. Jadi itu sangat penting untuk teruskan kerier saya." katanya.
Ketika ditanya mengenai saingan yang kompetitif, Pemandi Super Sporting, Tengku Djan Ley, menjawab: "Daripada musim pertama memang setiap musim dapat tentukan pemenang, inilah keistimewaannya.
"Musim ketujuh tidak bagus buat saya kerana pusingan kedua dan ketiga ada masalah teknikal. Musim ini kami akan cuba lagi.
"TGR ada Program Rookie, dan Naquib daripada program itu. Bermula program pertama hingga kini kami sudah lihat bakat pelumba muda yang ada." tambahnya.