Skip to main content

Sukan

Dari kebun getah ke podium Terengganu Merdeka 4x4 Challenge 2025

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

4x4.jpg
Mempertaruhkan jentera Daihatsu Feroza 1.6 untuk menempuhi 10 peringkat cabaran (SS) Terengganu Merdeka 4x4 Challenge 2025 ternyata menjadi percaturan terbaik buat pasukan Rubber Tipper setelah merangkul juara keseluruhan bagi kategori 'Short Wheel Base' edisi ke-5 yang telah melabuhkan tirai pada Ahad lalu.

Menurut pengurus pasukan yang berpangkalan di Merapoh, Pahang, Muhammad Haikal Che Mat, mengatakan bahawa pasukkannya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menaiki podium di Kuala Nerus ini memandangkan cabaran litar agak ekstrem dan  teknikal untuk jentera lumba mereka beraksi.

"Bukan laluan mudah untuk kami di litar Kuala Nerus ini, setiap SS mempunyai cabaran tersendiri di mana kami perlu menyusun taktikal mahupun strategi berbeza mengikut kemampuan jentera agar dapat menambatkan perlumbaan sehingga ke garisan penamat dalam setiap SS.

"Apa yang merisaukan adalah kemampuan jentera pasukan ini untuk meredah kawasan berpaya atau mempunyai anak sungai yang memberi cabaran berganda di dalam perlumbaan ini. Jentera lumba kami hanyalah Daihatsu Feroza yang menggunakan karburator tanpa sebarang tambahan modifikasi kuasa enjin mahupun yang lain-lain ubah suai. Namun saya tetap mempercayai kemampuan pasukan kami untuk tetap memberi saingan sengit.

"Kami sebenarnya hanyalah 'team kampung' di mana rata-rata di antara kami adalah yang bekerja sebagai pemandu lori 'tipper' untuk mengangkat kayu-kayu getah dari kebun-kebun mahupun ladang di tempat kami, oleh itu dengan kemenangan selaku juara keseluruhan ini satu pencapaian besar untuk kami bagi sepanjang tahun ini," ujar Muhammad Haikal Che Mat yang telah mengurus keperluan pasukan sejak 2022.

Dalam kejohanan edisi kelima ini, Rubber Tipper selaku juara keseluruhan 'Short Wheel Base' membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 bersama piala kemenangan dan hadiah tajaan berupa barangan alat ganti perlumbaan. Manakala di tempat kedua dinobatkan kepada pasukan Ariff Paloh dan di tempat ketiga milik pasukan Anok Derih.

Penganjuran tahunan edisi ke-5 ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM 13,300.00 di mana bagi pemenang tempat ke-4 dan ke-5 termasuk pelumba yang mencatat masa terpantas bagi setiap SS turut berpeluang meraih hadiah wang tunai.

'Short Wheel Base' dan 'Long Wheel Base' merupakan dua kategori utama menjadi taruhan berjaya menarik penyertaan sebanyak 152 jentera lumba 4x4 yang melibatkan 304 peserta dari seluruh negeri semenanjung Malaysia.

Melihat pada jumlah penyertaan terbesar sejak dipertandingkan, pengarah pertandingan Muhammad Muzammil Mokhetar optimis bahawa edisi seterusnya akan diteruskan dan mempertimbangkan untuk mengekalkan venue pertandingan yang sama.

"Kami menerima pelbagai reaksi dari peserta-peserta yang bertanding di sini di mana rata-rata mereka memberi reaksi positif bagi pemilihan venue pertandingan untuk edisi kali ini.

"Selain cabaran bentuk muka bumi yang mencabar, fasiliti mahupun kemudahan awam termasuk tanda awam dan surau tidak jauh dari litar pertandingan memberi kelebihan untuk setiap peserta hadir bersama keluarga mereka.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan tanda terima kasih di atas sokongan-sokongan daripada pelbagai pemegang-pemegang taruh lain khususnya di peringkat kementerian dan kerajaan negeri yang sudi memberi ruang dan peluang buat komuniti sukan lasak 4x4 ini beraksi," ujar ujar Muhammad Muzzammil Mokhetar yang juga merupakan presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah(UT4x4).

Edisi ke-5 perlumbaan jentera lasak 4x4 yang telah berlangsung selama tiga hari di Bandar Baru Kuala Nerus, Terengganu dianjurkan oleh Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah(UT4x4) bersama Kelab Terjoh! 4x4 Kuala Terengganu selaku rakan teknikal pertandingan juga turut disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan(KBS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya(Tourism Malaysia), Kerajaan Negeri Terengganu dan beberapa lagi lain-lain agensi berkaitan yang turut sama berganding bahu untuk menjayakan sukan permotoran lasak ini.

Advertisement

Must Watch Video