Cub Prix: Yusoff gembira Petronas Sprinta Yamaha CKJ bakal ulangi pencapaian 2023

Muzaffar Musa
September 30, 2024 20:30 MYT
Pengurus Pasukan Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Mohd Yusoff Said, gembira apabila pasukannya akan mengulangi pencapaian musim lalu dengan bergelar juara keseluruhan CP150.
Pasukan berkenaan muncul juara musim lalu dengan himpunan 392 dan setakat pusingan kelapan ketika ini, mereka sedang selesa mendahului saingan musim 2024 dengan 312 mata meninggalkan pasukan Honda Estremo Yuzy Racing (176 mata) di tangga kedua.
Mengekalkan gandingan sama, yang dibarisi Afif Amran, Akid Aziz dan Emil Izdihar Ezuan, Yusoff yakin pasukannya akan mempertahankan kejuaraan, lebih-lebih lagi dengan dua pelumba mereka, Afif dan Akid, sedang bersaing hebat merebut kejuaraan kategori pelumba.
"Apa yang kami mahukan pada 2023, mungkin akan berulang lagi pada 2024 ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazri
"Syukur Alhamdulillah ia rezeki pasukan kami. Terima kasih kepada kesemua kru yang menyediakan penalaan yang bagus.
"Kedudukan kami ketika ini sudah selesa dan hanya tinggal dua pelumba kami untuk bersaing sesama sendiri.
"Tidak kira Akid atau Afif, kami tidak kisah kerana kedua-duanya pelumba kami," katanya.
#Permotoran #Sukan Permotoran #Cub Prix