Pusingan kesembilan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix telah berlangsung di Litar Bandar Medini Iskandar. Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing bukan sahaja memenangi pusingan ini tetapi meraih gelaran juara awal di kategori CP150.
Sesi “Super-Pole” yang dijadualkan pada tengah hari tadi dibatalkan disebabkan oleh hujan. Bendera merah dikibarkan dan petak grid pelumba-pelumba CP150 ditetapkan berdasarkan keputusan sesi kelayakan yang telah berlangsung petang semalam. Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing mengambil petak grid pertama dengan catatan masa 44’624s diikuti oleh Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 44’626s. Di petak grid ketiga adalah Kasma Daniel dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 44’675s.
Di sesi perlumbaan akhir tadi, Akid tidak melengahkan masa dan terus meluru ke P1 di selekoh pertama diikuti oleh rakan sepasukannya Afif di P2. Azroy mengambil kedudukan P3 sebelum di pintas oleh Kasma dari dalam di selekoh pertama. Afif yang memberikan tekanan ke atas rakan sepasukannya berjaya memintas Akid. Sepanjang perlumbaan tersebut, kedudukan ketiga-tiga pelumba di hadapan tidak berubah. Duo sepasukan tersebut juga mula membuka jurang dengan Kasma di P3 sebelum Akid mencabar Afif untuk mengambil alih kembali kedudukan P1.
Afif meneruskan strateginya untuk bersaing secara positif dengan rakan sepasukannya namun Akid yang memburu kejuaraan awal tidak memberikan Afif peluang untuk memintas. Di lap terakhir, Akid membuka jurang di antara rakan sepasukanya dan mempertahankan kedudukannya dengan hebat sebelum menamatkan perlumbaan bukan sahaja sebagai pemenang pusingan kesembilan tetapi sebagai juara keseluruhan buat dua kali berturut-turut dengan catatan masa 15’17:301s.
Menurut Akid, “Untuk musim ini, perjalanan saya agak bagus sepanjang musim ini. Dari pusingan satu sehingga sekarang, saya hanya kehilangan satu podium di pusingan Sepang tetapi pusingan-pusingan seterusnya semua berjalan dengan lancar. Saya dapat mempertahankan kedudukan saya di atas. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan saya, krew saya serta keluarga saya untuk sokongan yang telah diberikan.”
Pelumba sepasukan Ahmad Afif Amran mengambil tempat kedua dengan catatan masa 15’17:409s.
Kasma Daniel mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 15’33:152s.
Di kategori CP 125 pula, Md Izam Ikmal dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing meraih tempat pertama di Bandar Medini Iskandar.
Di sesi “Shoot-Out” yang telah berlangsung pada tengah hari tadi, Md Izam Ikmal dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing telah tampil dengan kelebihan apabila beliau mencatatkan masa terpantas 46’024s. Beliau mengambil kedudukan pertama di petak grid diikuti oleh Md Syamil Amysar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing di petak grid kedua dengan catatan masa terpantas 46’318s. Di tempat petak grid ketiga adalah Md Haziq Hamdan dari pasukan Castrol Power1 Honda Yuzy Racing dengan catatan masa terpantas 46’353s.
Sejurus bermulanya sesi perlumbaan, Izam dengan cepat mengambil kedudukan P1 di selekoh petama diikuti oleh Irfan di P2 tetapi sebelum berakhirnya lap pertama, Irfan mengambil P1 diikuti oleh Syamil di P2. Namun begitu, di lap ketiga, jentera Syamil memberikan masalah dan membuka peluang kepada Izam untuk mara ke P2. Haziq Hamdan pula mengambil kedudukan P3. Persaingan bertambah sengit di setiap lap. Sepanjang perlumbaan, Irfan kekal fokus di P1 tetapi Izam terus memberikan tekanan sebelum mengambil alih kedudukan P1. Di lap terakhir, Izam kekalkan momentumnya dan mula membuka jurang dengan Irfan di P2 sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 12’20:461s.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya. Perlumbaan tadi agak sengit dan saya juga nampak Irfan agak aggresif. Tetapi, saya cuba mengekalkan momentum kerana terutamanya di keadaan litar yang basah dan elak sebarang kesilapan. Syamil malangnya tidak dapat meneruskan perlumbaan. Jadi saya cuba mengambil peluang untuk menguasai perlumbaan ini. Ini adalah rezeki saya pada hari ini dan saya amat bersyukur.”
Irfan Haykal dari pasukan Honda KC Racing mendapat tempat kedua dengan catatan masa 12’21:276s.
Haziq Hamdan dari pasukan Castrol Power1 Honda Yuzy Racing mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 12’25:846s.
Sementara itu, Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing meraih kemenangan di Litar Bandar Medini Iskandar bagi kategori Wira KBS.
Di sesi kelayakan yang telah berlangsung semalam, Md Iman Fahmi dari pasukan Winbox KM+ AXLA mengambil kedudukan pertama di petak grid setelah mencatat masa terpantas 47’245s. Di petak grid kedua adalah Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing dengan catatan masa 47’330s diikuti oleh Farres Putra dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing di petak grid ketiga dengan catatan masa 47’442s.
Semasa perlumbaan, Farres dengan pantas memintas pelumba-pelumba lain untuk mendahului kelompok tersebut di P1 diikuti oleh Adib di P2. Tetapi di lap kedua, Adib memintas Farres diikuti oleh Iman sebelum Iman menguasai litar tersebut. Farres di kedudukan P3 cuba menutup jurang di hadapan. Sepanjang perlumbaan, persaingan bertambah hebat di antara Iman dan Adib manakala Farres hanya mengekori di P3. Sementara itu, Akif di P4 semakin mendekati Farres dan mencari peluang memintas. Di lap terakhir, keempat-empat pelumba dalam persaingan yang sengit berebut untuk ke hadapan sebelum Adib menyambar kedudukan pertama pada 9’44:940s.
Menurut Adib, “Saya amat berterima kasih kerana mendapat tempat pertama di tempat kelahiran saya. Saya memang menunggu untuk saat ini. Pada musim lepas, saya hanya berjaya di tangga kesepuluh. Di lap terakhir, saya dah agak yang Imah Fahmi akan cuba memintas saya seperti yang telah dilakukannya beberapa kali. Namun begitu, saya kekalkan momentum saya dan mengawal teknik tunggangan saya. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan dan keluarga saya hadir ke sini hari ini untuk sokongan mereka.”
Farres mengambil tempat kedua dengan catatan masa 9’45:133s.
Akif Abdullah dari pasukan Honda KC Racing mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 9’45:391s.
Ammar Hakim
Sat Nov 09 2024