Cub Prix: Saya ingin rapatkan jurang -- Azroy Hakeem
Ogos 28, 2024 16:01 MYT
Pusingan ketujuh Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak hujung minggu ini.
Azroy Hakeem Anuar daripada pasukan Honda Estremo Yuzy Racing akan meneruskan persaingan dalam kategori CP150 mempertahankan kedudukannya.
Kemenangan pertamanya bagi musim ini di litar Terengganu adalah motivasi baharu bagi Azroy untuk mengorak langkah ke arah juara keseluruhan.
Kategori CP150, yang didominasi oleh pesaing utamanya musim ini adalah suatu cabaran yang agak sukar untuk diatasi oleh Azroy, namun begitu, kejayaannya di pusingan lepas di tangga teratas memberikannya suatu keyakinan dan semangat untuk meneruskan saingan seterusnya dengan lebih kompetitif.
Pelumba Honda itu telah meraih gelaran juara pada musim 2021 setelah menaiki podium sebanyak lima kali, termasuk tiga kemenangan.
Pada ketika itu, walaupun sekali lagi gagal menamatkan perlumban dalam pusingan pertama, Azroy berjaya mengumpul sebanyak 163 mata.
Dua tahun seterusnya, walaupun Azroy tidak menjuarai kategori berkenaan, dia masih mampu mengekalkan kedudukannya di tangga ketiga teratas keseluruhan.
Jelas Azroy seorang pelumba yang bukan sahaja berpengalaman, malah berkaliber tinggi. Terbukti, dia mempunyai kemampuan untuk bertanding secara konsisten, tidak kira sama ada di litar teknikal mahupun di litar kelajuan tinggi, di samping kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan pantas.
"Daripada segi motosikal, pasukan CKJ adalah pencabar utama saya kerana motosikal mereka amat konsisten dan laju di setiap litar.
"Cabaran kami adalah untuk mendapatkan tahap kelajuan yang sama supaya dapat merapatkan lagi jurang dengan mereka.
"Ini akan memberikan saya kelebihan untuk bersaing secara konsisten dengan mereka. Bagi saya, saya berasa amat selesa dengan pengendalian jentera RSX dan ditambah dengan suspension yang amat baik Ketika menunggang. Ini adalah ciri-ciri yang saya gemari mengenai jentera jenis Honda ini.
"Litar Tangkak adalah litar yang agak teknikal dan memerlukan kekuatan enjin yang bagus untuk bersaing di hadapan.
"Pasukan saya sentiasa melakukan kerja yang baik untuk memastikan jentera kami dalam keadaan yang optimum ketika berlumba.
"Saya juga sentiasa memberikan 100% ketika menunggang. Bagi saya, semua litar mempunyai cabarannya yang tersendiri tetapi yang penting adalah untuk memberikan tumpuan sepenuhnya dalam setiap aspek.
"Matlamat saya dalam pusingan yang akan datang adalah untuk merapatkan jurang dengan pelumba di tangga teratas dan menambah koleksi podium dan kemenangan," katanya.