Cub Prix: Pintasan saat akhir pacu Syamil Amsyar muncul juara CP125

Saufi Tahir
November 24, 2024 20:00 MYT
Pelumba Petronas Sprinta Yamaha, Syamil Amsyar, muncul pemenang keseluruhan kategori CP125 Petronas MAM Malaysian Cub Prix 2024 selepas menjuarai perlumbaan pusingan terakhir di Litar Batu Kawan, hari ini.
Syamil menamatkan musim ini dengan kutipan 159 mata secara keseluruhan sekali gus mendahului pencabar terdekat, Izam Ikmal, dengan kelebihan jurang sebanyak 20 mata.
"Saya bersyukur, dalam perlumbaan tadi saya hanya mahu kekal di kedudukan kedua sahaja tetapi punyai peluang saat akhir dan berjaya lepas.
"Memandangkan ini kampung saya, saya mahu lakukan yang terbaik. Tahun ini agar sukar mencari penyelarasan jentera yang terbaik tetapi gembira dapat muncul juara tahun ini," kata Syamil.
Sementara itu, Farres Putra pula dinobatkan juara keseluruhan kategori Wira KBS walaupun menamatkan perlumbaan terakhir di kedudukan keempat.
Jumlah kutipan 182 mata memastikan dia meninggalkan Akif Abdullah yang menjuarai perlumbaan di Batu Kawan, untuk menduduki tempat kedua dengan perbezaan jurang 4 mata sahaja.
"Saya bersyukur atas rezeki ini, walaupun tiada podium tetapi dalam pusingan terakhir ini tetapi tujuan kami adalah untuk menjadi juara keseluruhan. Kerana kita boleh jadi juara pusingan banyak kali tetapi juara keseluruhan hanya sekali setahun. Terima kasih pasukan juara untuk kali kelima tahun ini," tambah Farres.
Malah, malang tidak berbau bagi juara kategori CP150, Md Akid Aziz, yang terbabit terbabit dalam kemalangan sehingga berlaku tumpahan minyak di litar mengakibatkan situasi "red flag'.
Sejurus perlumbaan bersambung dengan hanya 11 pusingan dipertaruhkan, Akid tidak dapat kembali beraksi.
"Saya bersyukur atas pencapaian ini, perlumbaan hari ini saya agak kurang berpuas hati kerana jatuh sebelum separuh pusingan lagi. Terima kasih pasukan dan keluarga." kata Akid.
Begitupun, rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran, berjaya menghabiskan perlumbaan di tempat ketiga untuk muncul naib juara secara keseluruhan dengan kutipan 163 mata.
"Saya berjaya lagi berada dalam kelompok tiga terbaik secara keseluruhan tahun ini walaupun permulaanm sukar, saya kalah dengan berat fizikal saya, saya harap tahun depan dapat perbaiki." ujar Afif.
Kejayaan Ahmad Afif sedikit sebanyak membantu pasukannya untuk dinobatkan juara keseluruhan kategori CP150 selepas tamat 10 pusingan dengan pasukan Honda Estremo Yuzy Racing pula berada di tangga kedua dan kedudukan ketiga menjadi milik Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor.
#Permotoran #. #Prix #Syamil Amsyar #'Cub
;