CUB PRIX

Cub Prix: Litar Tangkak tawar cabaran berbeza

Shaiful Shamsudin 01/05/2024 | 13:45 MYT
Pelumba SCK Honda Racing Team, Helmi Azman, sedia menyahut sebarang situasi cuaca asalkan menemui pelarasan terbaik dalam Kejuaraan Petronas Cub Prix di Litar Tangkak, hujung minggu ini.
Helmi meraih kedudukan tempat kelima kategori CP150 dalam pusingan pembukaan di Jasin yang lalu.
Lantas, dia bertekad untuk menghapuskan kemarau podium sejak tahun lalu.
"Litar Tangkak ini agak sukar bagi jentera Honda, apa pun saya mahu merebut kedudukan terbaik.
"Saya percaya banyak pasukan sudah mengadakan ujian di trek kekal ini.
"Saya harap sudah mendapatkan pelarasan terbaik daripada segi enjin dan penyerap hentakan pada minggu ini.
"Tahun lalu perlumbaan berlangsung dalam hujan dan trek ini agak mencengkam. Ramai pelumba yang buat 'kering' sahaja jadi sebagai pelumba, kami sudah bersedia untuk menghadapi sebarang cuaca," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Sementara itu, pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor,
Nazirul Izzat Bahauddin, mengintai kedudukan podium selepas masalah gear menyekat hasratnya untuk menamatkan perlumbaan di Jasin.
"Saya menjalani dua sesi latihan pada Ramadan lalu.
"Saya juga sudah mendapatkan pelarasan motosikal yang terbaik dan berharap dapat membawa pulang 'podium' pada hujung minggu ini.
"Saya harap masalah gear dalam pusingan pertama tidak lagi berulang," katanya pula.
#Cub Prix
;