CUB PRIX

Cub Prix: Kasma Daniel sifatkan peraturan baru lebih adil

Stadium Astro
Saufi Tahir
13/04/2025
11:03 MYT
Sponsor Banner
Cub Prix: Kasma Daniel sifatkan peraturan baru lebih adil
"It's the right moment!" berikut merupakan ungkapan yang ditegaskan pelumba CP150, Kasma Daniel Kasmayudin, yang menyifatkan perubahan terma dan syarat yang baru bakal memberikan keadilan kepada dirinya untuk mencabar juara bertahan, Md Akid Aziz, yang memegang status selaku juara dua kali berturut-turut.
Kasma turut percaya ini merupakan momen terbaik bagi dirinya bermula dengan langkah kanan pada perlumbaan pertama petronas MAM Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa Sepang Utara pada 19 dan 20 April ini.
Dia turut menjelaskan pembukaan tirai musim ini yang bermula sedikit lewat juga memberikan ruang buat pelumba untuk berlatih dan mendapatkan tetapan jentera yang terbaik.
Untuk rekod, sejak penampilan semula dalam saingan Cub Prix pada 2021, Kasma masih belum lagi menjulang kejuaraan CP150, dengan kedudukan di tempat ketiga tahun lepas menjadi pencapaian terbaiknya selepas memungut 124 mata secara keseluruhan.
"Semestinya peraturan baru ini saya agak suka dan lebih adil, kerana ada pelumba yang terlalu ringan dan jentera juga ringan maka itu kelebihan buat pelumba.
"Untuk pelumba berat dan jentera lebih kurang sama ia tidak begitu adil, pelumba berat dan ringan sukar untuk bersaing. Tetapi peraturan jentera lebih kurang sama untuk spesifikasi berat.
"Jadi pelumba yang berat boleh ringankan jentera dan pelumba ringan perlu tambahkan berat, jadi itu agak adil buat saya." katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video