Pelumba Petronas Sprinta Yamaha–CKJ Racing, Md Akid Aziz, mengakui rakan sepasukannya, Afif Amran, banyak membantunya untuk mempertahankan kejuaraan kategori CP150 Cub Prix Malaysia selepas mengungguli perlumbaan pusingan kesembilan di Bandar Medini Iskandar minggu lalu.
Baginya, Afif banyak melakukan pengorbanan untuk memastikan dia bergelar juara lebih awal berbaki satu pusingan terakhir di Pulau Pinang hujung minggu depan.
"Alhamdulillah, ia rezeki yang tidak dijangka," katanya ketika bercakap sebagai tetamu jemputan dalam Nadi Arena sebentar tadi.
"Saya tidak jangka akan dapat mengumpulkan penamat tempat pertama dengan banyak sepanjang tahun ini.
"Apabila mendapat peluang, saya memang tidak akan mensia-siakannya dan akan meneruskannya.
"Untuk mendapatkan kemenangan, kita memerlukan kerjasama di antara pelumba dan pasukan, jadi buat masa ini, rakan sepasukan saya, Afif, memang banyak membantu saya daripada segi setup.
"Apabila saya ada masalah, dia banyak membantu tetapi apabila dia ada masalah, dia senyap sahaja.
"Jadi dia memang banyak menolong saya dan kami akan berbincang untuk bersaing sesama sendiri," katanya.
Muzaffar Musa
Mon Nov 11 2024