CUB PRIX

Cub prix: Anak Shahrol Yuzy kemudi jentera CP125

Ammar Hakim 21/08/2020 | 10:03 MYT
Legenda permotoran negara, Shahrol Yuzy, sedia mengambil risiko biarpun mempertaruhkan seorang pelumba sahaja dalam kategori baru, CP125 dengan tanggungjawab tersebut dipikul anaknya sendiri, Sharol Syaraz Shahrol Yuzy.
Ia pertaruhan berisiko dibuat Shahrol dalam usaha mencabar kategori baru ini.
Syaraz yang baru menginjak usia 18 tahun perlu memastikan pasukan ayahnya, Yuzy Honda Racing merapatkan jurang mata, selepas perlumbaan di Sepang Julai lalu, menyaksikan dia hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-15.
"Ini merupakan kategori baru. Kami baru sahaja membangunkan jentera ini sejak penghujung tahun lalu," kata Shahrol.
Bagaimanapun, prospek terbaik Shahrol sudah semestinya dalam saingan perdana, CP150, apabila pelumba utamanya, Azroy Hakeem Annuar, masih dalam kelompok pendahulu untuk mencabar gelaran juara.
Di Sepang, Azroy berjaya menempatkan diri dalam kedudukan podium, menamatkan saingan di belakang juara, Helmi Azman dan Khairul Ikhwan Ajis untuk berpuas hati di tempat ketiga.
"Berdasarkan prestasi berbanding tahun lalu, kami semakin meningkat naik. Kami mengharapkan peningkatan yang lebih lagi musim ini."
;