Pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Akid Aziz, meneruskan rentak cemerlangnya apabila menjuarai pusingan kelapan saingan Cub Prix Malaysia di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan hari ini.

Bagaimanapun, rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran, terus memberikan tekanan apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua, sekali gus mengekori rapat kedudukan keseluruhan kategori pelumba.

Kedua-dua pelumba itu memulakan perlumbaan di dua petak utama selepas Akid mengungguli saingan superpole di sebelah pagi.

Akid memenangi perlumbaan dengan catatan masa 14:49:831s diikuti Afif dengan perbezaan 2.871s manakala wakil SCK Honda Racing Team, Helmi Azman, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Dengan kemenangan itu, Akid kekal mengungguli kedudukan keseluruhan dengan 175 mata diikuti Afif dengan 127 mata sambil Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing di kedudukan ketiga dengan 95 mata.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya kerana menyediakan motor yang sangat baik. Jika kital ihat kedudukan perlumbaan, jelas terdapat banyak peningkatan," kata Akid selepas perlumbaan itu.

"Menang bukanlah sesuatu yang mudah, ia memerlukan usaha dan strategi yang teliti. Kami akan
berusaha lebih keras dalam pusingan akan datang."