Covid-19: Status Sukma Johor jadi tanda tanya

Muzaffar Musa
Mac 5, 2020 21:13 MYT
Status Sukan Malaysia (Sukma) di Johor, Julai depan menjadi persoalan berikutan penularan wabak Covid-19.
Majlis Sukan Negara (MSN) ketika ini masih menantikan pelantikan Menteri Belia dan Sukan baru bagi membuat keputusan sama ada temasya itu akan diteruskan pada tarikh asal atau ditunda.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dalam satu temu bual Nadi Arena berkata: "Sepertimana IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) menguruskan Sukan Olimpik, saya rasa Sukma juga akan diuruskan dengan garis panduan dan kaedah yang sama.
"Jadi, lebih baik kami memantau perkara ini dahulu kerana masih mempunyai masa yang panjang.
"Kami akan melihat proses itu dari bulan ke bulan dengan nasihat daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan sebagainya.
"Jadi, Jawatankuasa Tertinggi Sukma akan mengadakan mesyuarat lagi, khususnya untuk meluluskan peringkat akhir Sukma 2020.
"Jika pada ketika itu ada pandangan lain, kami akan berbincang," katanya.
#Majlis Sukan Negara #Sukma #Covid-19
;