Cobra 'perform' di hari pertama

Nadira A. Hamid
November 11, 2023 18:57 MYT
Pertaruhan kelab Cobra menjemput pengendali yang di import khas untuk kejohanan ini, Mike Rogers dari New Zealand bersama 14 lagi pemain import membuahkan hasil positif di Kejohanan Ragbi Cobra 10's edisi ke 50 selepas pasukan itu menang di kedua-dua aksi hari pertama saingan.
Menang aksi pertama bertemu wakil Australia, Casuarina Cougars 24-7, anak buah Rogers yang dibantu pengendali ragbi negara, Nik Safuan Ismade selaku penolong jurulatih terus cemerlang memastikan mereka membaham kelab Global Lions dengan keputusan 26 berbalas 7.
Ternyata dalam tempoh singkat, pasukan Cobra yang hanya diwakili dua pemain tempatan, yang juga pemain kebangsaan, Firdaus Emir Roslam dan Nazhiim Shahruddin tiada masalah untuk 'blend in' dalam misi ulangi kejayaan yang diraih 2019 lalu.
" Pasukan ragbi Cobra ada hantar empat orang untuk selections. Yang local pun kena compete untuk dapat tempat. Awal-awal masa pemain import ni datang training memang mencabar sebab pemain import ni laju dari kita, banyak yang profesional player juga di New Zealand. Mula slow siki, but lepas tu kita dapat pick up. Dorang banyak membantu, " kata Nazhiim.
Rogers pula menegaskan, dua pemain Cobra ini mempamer persembahan memberangsangkan dalam memastikan laluan Cobra untuk beraksi di kumpulan juara esok dalam misi meloloskan diri ke separuh akhir.
;