SUKAN LAIN

Chuan Long buktikan masih jaguh snuker terbaik

Penulis Jemputan 13/06/2017 | 15:14 MYT
Jaguh negara, Thor Chuan Leong, bukan sahaja berjaya mempertahankan Kejohanan Snuker Kebangsaan, malah menyamai rekod lima gelaran milik Sam Chong, malam ini.
Final edisi 2017 mempertemukan Chuan Leong dengan antara pemain terbaik negara, Reza Hassan.
Empat frame pertama berlangsung sengit dengan Reza memberikan cabaran terhadap aksi kemas Chuan Leong.
Tetapi, selepas Reza mengikat kedudukan 2-2, Chuan Leong bangkit dengan aksi luar biasa.
Ini termasuklah mempamerkan aksi hampir sempurna dalam dua frame terakhir untuk menang 6-2 daripada siri 11 frame terbaik.
"Saya hanya menumpukan perhatian terhadap permainan sendiri tanpa menghiraukan tahap permainan lawan," kata juara menanti itu.
Pada masa yang sama, Reza tidak berselindung dengan rasa terkilan memandangkan ini percubaan kali kelimanya di pentas final dengan berkata: "Dari segi persiapan saat akhir, saya membuat persiapan dengan baik.
"Saya mendapat rehat yang cukup, cuma aksi dalam final sahaja tidak mencukupi apabila hanya dapat menampilkan tahap persembahan sebanyak 70 peratus sahaja."
Chuan Leong atau lebih mesra disapa Thor, menegaskan adalah satu penghormatan dia dapat menyamai rekod Sam Chong dan akan cuba mengatasinya, tahun depan.
"Kejayaan ini sangat bermakna buat saya, ini kerana saya amat tertekan sebelum pertarungan final ini.
"Saya akan cuba memenangi gelaran keenam selepas ini."
;