Skip to main content

Gusti

Chris Jericho mengganas di Tokyo

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

jericho-kenny.jpg
Ibarat seekor singa lapar yang baru terlepas dari kandang. Itulah yang boleh diibaratkan terhadap persembahan yang diperlihatkan oleh Chris Jericho semasa menentang Kenny Omega di acara New Japan Pro Wrestling (NJPW) Wrestle Kingdom, semalam.

Jericho dilihat tampil berbeza daripada aksi biasa yang sering kita tonton di WWE selama ini. Tiga suku daripada 34 minit perlawanan berlangsung, “Alpha” Jericho begitu selesa mendominasi perlawanan sehingga menyebabkan Omega terpana untuk menangkis serangan demi serangan daripada bintang lagenda itu.


Tampil dengan watak yang angkuh, Jericho bebas melakukan apa sahaja dalam perlawanan tanpa pembatalan DQ ini dengan menggunakan pelbagai objek asing, termasuk memukul pengadil (dan anaknya) yang sedang bertugas.

Dengan bengkung Kejuaraan Amerika Syarikat International Wrestling Grand Prix (IWGP) menjadi taruhan, Jericho juga tampak betul-betul melepas gian dengan melakukan pelbagai perkara yang selama ini menjadi pantang besar di WWE yang berformat bimbingan ibu bapa (PG), seperti menghantuk kepala Omega berkali-kali di kerusi besi, serta menunjukkan isyarat jari tengah yang kurang sopan kepada hampir 35,000 penonton yang membanjiri arena Tokyo Dome.

Namun kemampuan Omega menahan beberapa gerakan lazim dan penyudah Jericho tidak wajar dikesampingkan. Codebreaker dan beberapa kali kunci kaki Walls Of Jericho belum cukup untuk membuatkannya menyerah kalah, menambahkan lagi bahang amarah di sanubari Jericho.


Satu cubaan hempasan sauk moonsault yang cuba dilakukan oleh Jericho dari tali gelanggang tidak menjadi apabila Omega membaling kerusi besi kea rah Jericho. Tanpa membuang masa, satu hempasan cantik winged angel berjaya dilaksanakan menyebabkan leher dan kepala Jericho terhempas ke atas kerusi.

Natijahnya, Jericho pitam seketika dan tidak mampu menjawab tiga kiraan pin oleh pengadil, selajur Omega berjaya mempertahankan kejuaraannya.

Rata-rata penonton ternyata amat berpuas hati dengan kualiti perlawanan yang dipersembahkan oleh Jericho dan Omega dengan menyatakan yang ia adalah antara perlawanan 5 bintang yang wajib ditonton untuk tahun ini. Sekaligus, ia memenuhi ekspektasi semua yang ternanti-nantikan perlawanan ini sejak November tahun lalu.

Jericho, 47, sempat berkongsi reaksinya pasca perlawanan berakhir:
 
   
Berikut pula reaksi daripada Kenny Omega:
\
Untuk rekod, Jericho adalah penggusti berkulit putih ketiga yang ditampilkan dalam perlawanan kemuncak seperti ini selepas Ric Flair dan Brock Lesnar.

Ikuti sedikit highlight daripada perlawanan ini semalam:




Sebelum perlawanan antaranya dan Omega mengambil tempat, Jericho juga sempat memuatnaik sebuah video yang membidas para pengkritiknya kerana mendedikasikan perlawanannya dengan Omega semalam kepada mendiang Chris Benoit dan Eddie Guererro.
 

“Saya nampak beberapa komen ‘perasan bijak’ di Instagram selepas saya berkongsi satu lukisan peminat yang memaparkan saya bersama roh Eddie dan Benoit.

Ye saya tahu apa yang telah Chris (Benoit) lakukan. Saya telah terlibat dengannya lebih daripada apa yang anda semua faham dan saya ada alasan tersendiri mengapa saya mendedikasikan perlawanan ini untuk mereka.

Jadi tak payah susah-susah nak membidas apa yang saya kata dan lakukan. Nancy dan Daniel Benoit sentiasa tersemat dalam ingatan saya setiap hari. Jadi cukuplah setakat ini dan saya takkan berbicara tentang perkara ini lagi.”

Bidasan peminat itu merujuk kepada kes Chris Benoit yang telah membunuh anak dan isterinya sebelum mengakhiri riwayatnya sendiri pada 2007 menyebabkan nama Benoit dipadam daripada sejarah WWE dan tidak pernah lagi disebut sejak kes itu berlaku.

Tidak pasti ke mana haluan Jericho selepas ini. Dengan sesi jelajah kugirannya Fozzy yang padat sehingga pertengahan tahun ini, bintang Kanada ini mungkin akan terus berehat seketika daripada sebarang aktiviti gusti dan penampilan WWE. Namun siapa tahu, Y2J akan kembali semula membuat kejutan pada bila-bila masa yang disukai seterusnya membuatkan para peminatnya terus teruja.

Keputusan lain acara Wrestle Kingdom 12:

1. Lagenda NJPW/UWF Mashito Kakihara memenangi acara Tempur Diraja di siaran pra acara

2. The Young Bucks kalahkan Roppongi 3K untuk Kejuaraan Regu IWGP Junior

3. Chaos (Beretta, Tomohiro Ishii & Toru Yano) ketepikan cabaran Bullet Club (Bad Luck Fale, Tama Tonga & Tanga Loa), Michael Elgin dan War Machine (Hanson & Raymond Rowe), Suzuki-gun (Taichi, Takashi Iizuka & Zack Sabre Jr.) (dengan El Desperado, Taka Michinoku & Yoshinobu Kanemaru) dan Taguchi Japan (Juice Robinson, Ryusuke Taguchi & Togi Makabe) dalam perlawanan Gauntlet bagi Kejuaraan NEVER Openweight Regu 6 Orang

4. Kota Ibushi tumpaskan Cody (Rhodes)

5. Los Ingobernables de Japon (Evil & Sanada) tumbangkan Killer Elite Squad (Davey Boy Smith Jr. & Lance Archer) bagi Kejuaraan Regu IWGP

6. Hirooki Goto kalahkan Minoru Suzuki dalam perlawanan Siapa Tewas Dipotong Rambut untuk Kejuaraan NEVER Openweight

7. Will Ospreay bergelar juara baharu IWGP Junior Heavyweight dalam perlawanan tiga penjuru dengan mengenepikan cabaran daripada Marty Scurll, KUSHIDA, and Hiromu Takahashi

8. Hiroshi Tanahashi kalahkan ‘Switchblade’ Jay White

9. IWGP Heavyweight Championship Match: Kazuchika Okada terus cemerlang dalam mempertahankan Kejuaraan IWGP Heavyweight dengan mengempunankan Tetsuya Naito

Foto kredit: Facebook New Japan Pro-Wrestling (Official)


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.


 

Advertisement

Must Watch Video