KL2017
Chinlone: Emas tidak datang bergolek -- Khairy
Emas yang disumbangkan skuad chinlone negara bukan sekadar emas pertama untuk keseluruhan kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA Ke-29 tetapi ia juga kejayaan memadam badi selepas sekian lama mencuba sejak 2013.
Meskipun harapan besar disandarkan kepada skuad kendalian Muhammad Yusuf Abdullah itu, barisan pemain negara bijak menyerap segala tekanan dan mampu mempamerkan kelas tersendiri dalam perlawanan akhir.
Keputusan akhir acara linking hari ini menyaksikan Malaysia mudah mengatasi Filipina 391 berbalas 271 mata di Stadium Tertutup Titiwangsa, hari ini.
"Setiap sasaran yang ditetapkan, kita mesti menang, maka momentum akan dibina. Adalah sangat penting untuk kita memenangi emas pertama ini walaupun dalam acara yang melibatkan tiga negara sahaja.
"Saya selalu ingatkan atlet kita, walaupun di atas kertas atlet kita merupakan pilihan, namun kita perlu berusaha kerana emas tidak akan datang bergolek," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Ia emas bersejarah untuk skuad chinlone negara selepas dua kali mencuba di Naypyidaw, Mnyamar 2013 dan Singapura 2015, dengan linking hanya mampu menyumbang gangsa dalam dua edisi Sukan SEA tersebut.
Terdahulu, Malaysia gah di peringkat kumpulan apabila mencatat keputusan tertinggi sebanyak 376 mata untuk menempah laluan ke final.
Filipina pula mencatat 293 mata untuk memenangi perak, manakala Brunei sekadar meraih 157 mata untuk gangsa.