WUSHU
Cheong Min ganti Diana ke Kazan
Atlet muda wushu negara, Tan Cheong Min, menggalas tugas besar dalam Kejohanan Dunia di Kazan, Russia, hujung bulan ini apabila dipilih menggantikan pemenang pingat emas Sukan SEA, Diana Bong, yang mengalami kecederaan bahu.
Cheong Min tidak memiliki reputasi sehebat Diana.
Dia tidak menyertai Sukan SEA kerana menyertai Sukan Universiti Dunia di Taiwan, yang menyaksikannya meraih pingat perak acara nanquan/nandao, bulan lalu.
Kejayaan itu membuka mata Persekutuan Wushu Malaysia bahawa atlet berusia 19 tahun ini adalah pengganti sesuai untuk Diana, yang mengalami kecederaan bahu ketika Sukan SEA.
"Saya terkejut serta gembira apabila nama saya tersenarai untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia. Saya akan cuba memberikan yang terbaik," kata Cheong Min.
Cheong Min akan beraksi dalam empat acara di Kazan, iaitu nanquan, nandao, nangun dan duilian.
Selain Cheong Min, Malaysia akan turut menghantar tujuh atlet diketuai juara dunia 2015, Loh Jack Chang.
"Terdapat beberapa atlet baru yang menyertai kejohanan kali ini. Kami memerlukan atlet muda untuk meraih pengalaman yang baru."