Carlos Alcaraz ikrar beri aksi terbaik, ketepikan kecederaan buku lali
Ariez Danysh
Ogos 26, 2024 16:28 MYT
Ogos 26, 2024 16:28 MYT
Carlos Alcaraz menegaskan bahawa kebimbangan terhadap masalah kecederaan buku lalinya tidak serius dan dia berada pada tahap terbaik menjelang saingan terbuka Amerika Syarikat, tahun ini.
Pemain kelahiran Sepanyol itu sedang mencari kemenangan keduanya di Flushing Meadows, di mana sebelum ini dia berjaya meraih kemenangan pada dua tahu lalu, serta kejohanan utama ketiga musim ini berikutan kejayaannya di Terbuka Perancis dan Wimbledon.
Walaupun, terdapat tanda tanya mengenai penyertaan Alcaraz dalam slam akhir tahun ini apabila dia menarik diri daripada latihan pada Jumaat lalu kerana kecederaan buku lalinya itu.
Bagaimanapun, dia berkata alasan untuk tidak meneruskan sesi itu adalah untuk di atas faktor berjaga-jaga.
"Selepas beberapa jam menamatkan latihan itu, saya tidak merasakan apa-apa dan semuanya baik-baik saja serta terkawal, saya pikir ia tidak akan menjadi sesuatu yang serius" katanya.
Dalam pada itu, Alcaraz akan memulakan kempennya menentang Li Tu pada Rabu.
"Kami akan menguruskannya dalam beberapa hari mendatang dan kami akan lebih berhati-hati. Saya fikir ia hanya detik yang menakutkan, tetapi saya pasti saya akan berada pada 100%." katanya.