Cahya Mata Sarawak Super Series Final 2024: Tahun ini sudah berakhir, saya akan bangkit -- Sadat Marzuqi

Saufi Tahir
November 17, 2024 21:37 MYT
Perseteruan sengit dalam mengejar kejuaraan keseluruhan Cahya Mata Sarawak Super Series Final 2024 berakhir dengan keputusan akhir tidak memihak kepada atlet baling tukul besi, Sadat Marzuqi.
Meskipun tidak meletakkan harapan menggunung untuk dinobatkan sebagai atlet lelaki terbaik dalam penganjuran siri pertama kali ini, peluang kompetitif itu digunakan sebaiknya untuk merancang kebangkitan semula musim hadapan.
Sadat yang beraksi dibawah kemampuan sebenar sekadar merekodkan balingan sejauh 56.36m, dan prestasi itu tidak melayakkan dirinya untuk meraih kutipan mata tambahan.
Untuk rekod, Sadat merekodkan balingan sejauh 61m pada ketika di kemuncak prestasi.
Dalam pada itu, Sadat menampilkan sisi terpuji dengan menjadi contoh kepada atlet muda untuk menghormati dan mewarnai kejohanan tempatan hasil inisiatif daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
"Untuk acara tukul besi agak sayu di negara kita, jika ada pertandingan, tidak banyak. Kebiasaannya penganjur tidak anjurkan kerana akan ada masalah dari segi padang dan sebagainya.
"Saya rasa tahun ini sudah habis buat saya, saya akan bangkit tahun depan kerana akan ada jurulatih yang akan melatih saya. Tahun depan adalah tahun yang baru buat saya." katanya.
#Olahraga #Baling Tukul Besi #sadat marzuqi #Cahya Mata Sarawak Super Series Final 2024
;