Apa lagi yang hendak dikata melainkan cetusan rasa terkilan yang tinggi dengan apa yang terpaksa dilalui bintang lontar tukul besi negara, Grace Wong, ketika ini.
Dengan rekod yang begitu cemerlang serta taburan pingat yang cukup membanggakan pernah disumbangkan beliau untuk negara sebelum ini, namun kini semua itu seakan bakal berubah dengan prestasi semasa yang mampu dijelmakan oleh sosok yang sama.
Faktor kemerosotan prestasi itu bukan kerana bersifat kelemahan peribadi pada dirinya, tetapi masalah pihak yang sepatutnya menguruskan keperluan dia selaku atlet dalam memastikan dia agar terus setiasa berada di landasan yang sepatutnya.
Selepas menyumbang tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa di temasya Sukan SEA, langkah gagahnya pada satu ketika dilihat mampu memahat pencapaian yang lebih jauh tetapi tergendala selepas pengunduran bekas jurulatihnya, Gu Yuan, beberapa bulan lalu.
Prestasi hambar Grace mampu diukur menerusi balingan terbarunya ketika menyertai Kejohanan Olahraga Siri Akhir Cahya Mata yang sedang berlangsung di Sarawak ketika ini.
Grace ketika ini hanya mampu melakukan catatan balingan terbaik dengan 57.17 meter sahaja, berbeza dengan beberapa catatan terbaik yang pernah direkodkan dia sebelum ini.
Walhal, Sukan SEA Kemboja 2023 menyaksikan atlet itu memecahkan rekod kejohanan dengan balingan emas sejauh 61.87 meter.
Sebelum ini Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerusi kenyataan yang pernah dibuat oleh Pengarah Teknikal badan induk olahraga negara itu, Robert Ballard, bahawa kekosongan yang ditinggalkan oleh Gu Yan akan segera diisi.
Malah beliau juga menjelaskan telah ke Mokpo City, Korea Selatan untuk meninjau calon-calon jurulatih yang berpotensi selain memberi bantuan dan sokongan kepada barisan atlet negara.
“Bukan sahaja Asia tetapi saya juga melihat calon-calon berpotensi dari Australia dan Amerika Syarikat. Kita perlu ada jurulatih dedikasi khas untuk baling tukul besi demi perkembangan atlet-atlet.
“Saya mencari seorang berinspirasi, pintar dan profesional yang boleh membawa jurulatih kita selari dengan pendekatan strategi terkini berprestasi tinggi,” Memetik kata-kata beliau kepada media ketika itu.
Astro Arena ketika menemui Grace di kejohanan itu mendapati bahawa atlet itu sendiri masih percaya dan sangat yakin bahawa dia akan mampu kembali ke prestasi asalnya bahkan lebih baik seandainya janji untuk mendapatkan pengganti Gu Yan mampu benar-benar direalisasikan.
Jika perkara ini berterusan, tidak mustahil permata berkilau yang begitu berharga yang ada di depan mata ini akan bertukar menjadi batu sungai yang layak mungkin layak untuk dijadikan tambahan perhiasan pasu bunga dan mungkin hanya untuk dikenang dengan rekod sejarah yang pernah dicipta untuk negara
King Hisyam
Sun Nov 17 2024