Cahya Mata Sarawak Super Series Final 2024: Koyak abdomen perut, Khairul Hafiz Jantan hampir bersara

Saufi Tahir
November 18, 2024 19:29 MYT
Bekas raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, meraikan kemunculan semula dirinya di trek balapan dengan meraih pingat perak acara 100m dalam siri akhir Cahya Mata Sarawak Super Series Final 2024, minggu lalu.
Khairul yang bergelut dengan kecederaan abdomen sepanjang tahun ini melakukan catatan terbaiknya dalam kejohanan itu.
Meskipun catatannya itu jauh daripada tahap sebenar antarabangsa, itu merupakan satu pencapaian besar buat Khairul yang terlintas sebelum ini untuk menggumumkan persaraannya.
Menerusi perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis, dia hampir menggantung spike ekoran reaksi tubuh badannya yang lemah dan tidak berada dalam keadaan seperti dulu kala.
Pelari berusia 26 tahun itu hilang status raja pecutNYA selepas dipalit pelbagai jenis kecederaan sejak zaman kemahsyurannya pada 2017.
Selepas tujuh tahun berlalu, Khairul optimis mencanang kebangkitan untuk kembali relevan di Sukan SEA Thailand nanti.
"Bulan Februari saya alami kecederaan dan lambat untuk pulih, saya juga telah buat rehabilitasi. Kerana belah bawah perut koyak dan ramai tidak tahu.
Kerana itu saya terpaksa berehat selama enam bulan. Perasan nak putus asa memang ada kerana kecederaan pada perut tidak pulih. Bila saya hampir mengalah, keluarga banyak beri sokongan.
"Saya dapat catat rekod yang lebih baik daripada di Perlis sebelum ini. Jika dapat konsisten kemungkinan saya dapat layak ke Sukan SEA Thailand nanti." katanya.
#Khairul Hafiz Jantan #Olahraga #Cahya Mata Sarawak Super Series Final 2024
;