SUKAN LAIN

Cabaran buat Cheong Min selaku pengganti Diana

Penulis Jemputan 04/01/2019 | 10:12 MYT
Tan Cheong Min menggalas dua tugas penting untuk menghadapi musim 2019 selepas bekas juara wusyu dunia, Diana Bong, mengumumkan persaraan yang menyaksikan perjuangan skuad negara akan diteruskan generasi muda.
Cheong Min baru berusia 22 tahun tetapi diletakkan sebagai pengganti terbaik kepada bekas juara dunia acara nandao itu.
Dia akan menghadapi Kejohanan Dunia di Shanghai, China, Oktober depan dengan reputasi selaku pemenang pingat perak Piala Dunia 2018.
Dia juga bakal menggalas tanggungjawab lebih besar apabila diletakkan selaku kapten skuad wanita negara.
"Saya mahu mempamerkan persembahan yang setaraf dengan atlet bertaraf antarabangsa. Ia akan membantu saya meraih pingat dalam kejohanan utama," katanya.
Menurut jurulatih wusyu negara, Lim Yew Fai: "Cheong Min kini menggantikan Diana untuk mewakili negara dalam saingan antarabangsa.
"Kehadiran lebih ramai atlet wusyu di Malaysia akan membantu perkembangan kualiti kami."
Diana bersara selepas 15 tahun mewakili negara dan sudah mendapatkan pekerjaan.
Terdahulu, skuad negara turut kehilangan khidmat seorang lagi bekas juara dunia, Loh Jack Chang, yang menamatkan kontrak sebagai atlet, 31 Disember lalu.
;