HOKI

Cabaran baru skuad hoki 5s negara

02/02/2024 | 06:57 MYT
Kejayaan skuad hoki 5s negara muncul naib juara edisi sulung Piala Dunia 5s merupakan pencapaian membanggakan dalam edisi pertama kejohanan itu.
Malah, pengendali skuad hoki 5s negara, Wallace Tan, percaya pencapaian itu juga satu cabaran kepada anak buahnya untuk tampil lebih konsisten berada dalam kejuaraan edisi seterusnya selepas ini.
“Pemain-pemain perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan potensi diri kerana pasukan negara lain semakin kuat.
“Cabaran dan tentangan hebat negara lain bukan hanya dari nama besar dalam hoki seperti Belanda, India, Pakistan dan Australia tetapi juga dari negara lain seperti Oman, Poland, Mesir, Trinidad & Tobago, Amerika Syarikat dan lain-lain.
“Ini kerana cara permainan ini memberi peluang terbuka kepada mana-mana negara untuk tampil lebih baik dalam edisi seterusnya,” katanya, yang percaya pencapaian itu akan menjadi dos penggalak kepada pemain-pemain untuk berusaha lebih gigih menyarung jersi negara pada masa depan.
Skuad hoki negara muncul naib juara Piala Dunia 5s setelah tewas 2-5 kepada Belanda dalam perlawanan akhir selepas menampilkan tentangan sengit hingga minit terakhir perlawanan di Muscat, Oman itu pada awal pagi semalam.
Skuad Wallace itu, yang melepasi sasaran ke suku akhir ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), terlebih dulu ketinggalan 1-3 dalam separuh masa pertama sebelum kembali bangkit menyaingi lawan tetapi akur kelebihan yang dimiliki Belanda pada penghujung perlawanan.
Dua gol Malaysia pula dijelmakan kapten pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook (m-2), dan Muhammad Firdaus Omar (m-16).
Tambah manis, Akhimullah, yang meledakkan 10 gol sepanjang kejohanan itu, dipilih pemain terbaik.
Dalam masa sama, Wallace berterima kasih kepada Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, yang sentiasa memberi sokongan kepada perkembangan cabang terbaru hoki tersebut.
“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Subahan yang sentiasa menyokong pasukan hoki lima sebelah negara.
“Terima kasih juga kerana memberi kepercayaan kepada saya mengendalikan pasukan ini pada tahun 2018 dan sekarang.
“Motivasi daripada Datuk Seri Subahan kepada pemain-pemain sebelum bertolak ke Oman juga menjadi pencetus keyakinan diri kepada mereka untuk beraksi dengan baik dalam Piala Dunia,” katanya.
--Sinar Harian
#Hoki #Hoki 5s
;