F1
Budaya sukan permotoran mampu lahirkan pelumba F1 berwibawa-- Alex Yoong
Bekas pemandu Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong, kecewa apabila Kerajaan Malaysia memutuskan 2017 sebagai tahun terakhir Malaysia menganjurkan perlumbaan F1.
Bagaimanapun, dia berharap ia tidak mematahkan semangat generasi baru untuk mengikut jejak langkahnya.
Keputusan kerajaan amat pahit untuk ditelan komuniti sukan permotoran.
Namun, mereka terpaksa akur memandangkan kos penganjuran terlalu tinggi, ditambah lagi dengan penurunan jualan tiket Grand Prix (GP) F1 Malaysia akibat persaingan penganjuran di Asia.
"Saya faham, penganjuran F1 di Malaysia tidak memberi pulangan dari segi ekonomi.
"Apapun, saya berharap kita dapat menumpukan perhatian kepada sukan permotoran.
"Kekurangan kita adalah tidak memberi tumpuan kepada pembangunan bakat muda.
"Sepang banyak menyaksikan kelahiran penunggang-penunggang hebat negara dalam kancah Moto2 dan Moto3.
"Akan tetapi bagi pemandu, pasukan dan jentera (dalam F1), tidak ramai yang dapat dilahirkan," ujarnya.
Alex masih kekal rakyat Malaysia tunggal yang pernah beraksi dalam F1.
Dia mewakili Minardi pada musim 2001 hingga 2002, namun gagal menjejak podium.
Selepas 15 tahun, masih belum ada mana-mana pemandu yang berjaya mengikut jejak langkahnya dengan Nabil Jeffri dan Jazeman Jaafar dilihat paling hampir untuk melakukannya.
"Tahap sukan ini sangat tinggi dan melibatkan kos tinggi untuk bakat muda apabila ahli keluarga mereka menghabiskan hampir EUR10 juta (RM46.99j) dalam tempoh 10 tahun.
"Saya lebih gemar untuk membangunkan dan mencipta budaya sukan permotoran tempatan supaya mereka dapat bersaing di tahap tinggi sebelum menghadapi tahap seterusnya.
"Kalau melaksanakannya, kita boleh melihat lebih ramai pemandu yang boleh menceburi F1 berbanding hanya seorang dua dalam tempoh beberapa tahun."
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, tidak menolak Malaysia akan mendapatkan semula hak penganjuran F1 dalam tempoh 10 tahun lagi.