SUKAN LAIN

Breakdance Dunia: Lego Sam, Khenobu buka mata dunia terhadap bakat dari Malaysia

Shaiful Shamsudin 28/11/2021 | 14:37 MYT
Atlet tarian breakdance negara, Sam Lee dan Faridh Yassin, menyasarkan kedudukan lapan teratas Kejohanan Dunia di Paris yang berlangsung Sabtu depan.
Ia merupakan pentas terbesar buat mereka yang lebih dikenali sebagai Lego Sam dan Khenobu apabila bakal bersaing dengan dengan 106 peserta dari 55 negara selain 88 atlet wanita dari 45 negara.
106 peserta ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan hanya 16 wakil daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat lapan lapan terbaik, justeru Lego Sam dan Khenobu perlu mempamerkan kelincahan dalam usaha memikat juri sejak awal pertandingan lagi.
"Saya berasa gemuruh tetapi dalam masa yang sama seronok.
"Sebelum COVID-19, saya lebih kerap menyertai kejohanan secara berseorangan tetapi kini mempunyai rakan sepasukan.
"Dengan itu saya berasa lebih baik dan bertenaga," kata Lego Sam selaku penyandang pingat emas Sukan SEA 2019 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Sementara itu, Khenobu pula bangga usaha mereka untuk mendaki peringkat dunia semakin menampakkan hasil dan Kejohanan Dunia itu mampu mencerahkan peluang mereka ke Sukan Olimpik Paris 2024.
"Selama ini kita tengok aksi penari yang lain di televisyen saya.
"Kami serius untuk mengharumkan nama Malaysia sebab kami gigih berusaha dari peringkat bawah lagi," katanya selaku naib juara Kejohanan E-Battle Kebangsaan 2021.
#breakdance #Sukan Olimpik Paris
;