SUKAN LAIN

Borneo 7s: Borneo Eagles laung amaran awal

Bernama 23/03/2019 | 14:31 MYT
Pasukan Borneo Eagles melaungkan amaran awal untuk mendominasi Kejohanan Ragbi Antarabangsa Borneo 7s apabila memenangi dua perlawanan pusingan awal hari pembukaan kejohanan itu di Sandakan, Sabah, hari ini.
Kelab tuan rumah itu, yang memburu gelaran keenam, dengan mudah menewaskan Taiwan dan Belgium Barbarians dengan keputusan sama 47-0 untuk muncul juara Kumpulan C di Kelab Ragbi Eagles.
Pengendalinya, Josh Van Lieshout, yang juga bekas pemain All Blacks, berkata dia berpuas hati dengan persembahan anak buahnya tetapi turut mengakui barisan pemain pasukannya mampu menunjukkan aksi yang lebih baik.
"Jangkaan saya adalah lebih tinggi esok kerana sudah menghadapi beberapa perlawanan pemanas badan sebelum ini,” katanya, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab tersebut hari ini.
Borneo Eagles akan berdepan dengan pasukan 'abang’, Sabah Eagles, esok untuk memburu slot separuh akhir.
Sabah Eagles turut layak ke suku akhir selepas menewaskan Thailand 40-7 dan Wipers Hugi Labuan 46-0 untuk muncul juara Kumpulan D.
Sementara itu, skuad negara turut melangkah ke saingan suku akhir selepas mengalahkan pasukan dari Australia, Caloundra, 28-0 dalam perlawanan kedua selepas kalah 42-7 kepada Hong Kong dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B.
Dalam kategori wanita, dua pasukan dari Jepun, Pearls dan Nagato Blues, menguasai saingan pusingan awal tanpa bolos sebarang mata dalam tiga perlawanan.
Pearls mengalahkan Hong Kong 34-0, Singapura 57-0 dan Filipina 42-0 untuk muncul juara Kumpulan A manakala Nagota Blues menewaskan Sabah Eagles 34-0, Malaysia 38-0 dan Southern District of Australia 12-0 untuk menjuarai Kumpulan B.
Kejohanan tahunan itu disertai oleh 20 pasukan dari dalam dan luar negara.
-- BERNAMA
;