SUKAN LAIN
Boling Tenpin Dunia: Skuad wanita tetap yakin meski tampil skuad muda
Ketua jurulatih negara, Holloway Cheah, menjangkakan saingan kuat daripada beberapa negara bagi barisan lelaki yang bersaing dalam Kejohanan Boling Tenpin Dunia, bermula 5 November depan.
Menerusi perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, Holloway yang membimbing kem kebangsaan sejak 17 tahun lalu turut menaruh kepercayaan terhadap gabungan atlet muda dan berpengalaman yang disenaraikan kali ini di sebalik dua tahun tanpa kejohanan.
Skuad boling tenpin antara yang terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ekoran COVID-19 hingga sesi latihan mereka terjejas selain daripada tiada kejohanan kompetitif.
Skuad negara hanya mula menjalani persiapan kembali berlatih sejak 10 September lalu dan akan berlepas ke Dubai pada 2 November depan.
Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) hari ini mengumumkan senarai lapan atlet lelaki yang diketuai oleh Rafiq Ismail dan tujuh wanita yang akan dibawa ke Dubai kelak.
"Kami saling mengenali mereka, keupayaan pasukan lelaki Malaysia dan Korea Selatan amat dikenali di pentas Asia ini sementara di Eropah pula terdiri daripada Sweden, Amerika Syarikat (AS) dan Finland.
"Tapi dalam kategori wanita pula, Singapura merupakan salah satu pasukan yang perlu diberi perhatian termasuklah Korea Selatan dan Colombia.
"Bagaimanapun, kami akan menghadirkan kejutan dengan mempertaruhkan barisan muda," katanya.
Sementara itu, Siti Safiyah Amirah pula bakal mengetuai kem wanita berikutan ketiadaan Esther Cheah sementara Nur Syazwani Sahar akan membuat penampilan pertama di pentas berkenaan.
Safiyah mahu menebus kegagalan 2019 lalu sementara pencapaian 2017 di Las Vegas akan menjadi motivasi buat skuad wanita negara.
"Walaupun pencabar lebih banyak menyertai kejohanan, tapi saya tidak begitu takut.
"Saya sempat melihat persembahan mereka di AS dan Korea Selatan, cuma tekanan itu tetap ada.
"Tapi kami akan cuba yang terbaik," kata pemenang pingat emas Sukan Asia Jakarta 2018 itu pula.
Senarai skuad negara
Pasukan lelaki
Tun Ameerul Luqman Al-Hakim
Timmy Tan
Muhammad Rafiq Ismail
Ahmad Muaz Mohd Fishol
Syafiq Ridhwan Abdul Malik
Muhammad Hafiz Zainuddin
Muhammad Syazirol Shamsuddin
Nevern Nataneel Marcellinus
Pasukan wanita
Natasha Mohamed Roslan
Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman Gillian Lim
Nur Syazwani Sahar
Nora Lyana Nastasia Norkamal
Nerosha Keligit Thiagarajan
Faten Najihah Ahmad Faik