SUKAN ASIA 2018
Boling tenpin: Boon Hian bangga dengan anak buahnya
Gandingan mantap trio boling tenpin lelaki negara membolehkan Rafiq Ismail, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fisol bangkit daripada ketinggalan untuk mengembirakan kem Malaysia dengan menghadiahkan pingat perak dalam Sukan Asia Indonesia bagi acara trio lelaki di Pusat Boling, Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, hari ini.
Malaysia berhasrat untuk mengulangi aksi sebagaimana prestasi dipamerkan trio wanita negara yang menyumbangkan emas pertama negara, semalam.
Sandaran pada mulanya diletakkan trio senior yang dibarisi Alex Liew, Syafiq Ridhwan dan Adrian Ang, yang menyaksikan mereka menamatkan saingan blok pertama di kedudukan kedua dengan 2,198 jatuhan pin, mengekori rapat Jepun (2,286 jatuhan pin).
Rafiq dan rakan-rakan pula sekadar menamatkan saingan blok pertama di kedudukan ke-10 dengan 2,084 jatuhan pin.
Bagaimanapun, bermula blok kedua pada sebelah petang, Rafiq, Timmy dan Ahmad Muaz mula mengejar dan menempatkan diri dalam kelompok kelima pada pertengahan saingan.
Persaingan untuk merebut kedudukan kedua seterusnya menjadi begitu sengit di antara Malaysia, Korea Selatan dan Singapura.
Kekeliruan berlaku pada penghujung saingan setelah trio muda Malaysia itu menamatkan saingan lebih awal dengan melakar 4,235 jatuhan pin.
Namun, ia sudah cukup untuk mengekalkan kedudukan di posisi kedua sementara Singapura di tempat ketiga dengan 4,226 jatuhan pin manakala emas milik Jepun.
"Saya sudah capai matlamat untuk mendapatkan medal Sukan Asia.
"Tetapi, ini baru hari pertama saingan kami. Saya dan rakan sepasukan akan saling membantu dalam acara berpasukan untuk mendapatkan emas mahupun menaiki podium," kata Syafiq.
Ahmad Muaz pula pada awalnya menyangka rezeki Malaysia setakat gangsa sebelum mereka bangkit memperkemaskan aksi untuk merakamkan kejutan.
"Masa itu, kami tidak tahu pun berpeluang memenangi perak, sebaliknya mampu meraih gangsa.
"Apabila pengiraan dibuat semula, barulah kami menyedari berpeluang untuk menang perak," katanya.
Dalam masa sama, Timmy mendedikasikan kejayaannya kepada bapanya yang menyambut hari jadi kelmarin.
"Saya ingin mengucapkan selamat hari jadi, ini hadiah untuk ayah," ujar Timmy.
Sementara itu, Alex, Adrian dan Syafiq menghabiskan saingan di tangga kesembilan dengan 4,147 jatuhan pin.
Dalam pada itu, jurulatih Malaysia, Heng Boon Hian, bangga dengan pencapaian barisan anak buahnya yang mampu menyerap tekanan beraksi dalam keadaan genting.
"Memang rasa teruja sebab markah sangat dekat.
"Apapun, mereka berjaya mengatasi tekanan untuk membuat balingan sempurna.
"Saya sempat memberi pandangan mengenai lorong dan balingan mereka," kata Boon Hian.
Kemenangan itu menyamai pencapaian Sukan Asia Incheon empat tahun lalu menerusi gandingan Timmy, Syafiq dan Zulmazran Zulkifli.