Boling padang wajar diserapkan kembali ke Program Podium

Shaiful Shamsudin
September 17, 2024 18:08 MYT
Atlet boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple, tidak menyangka dia kini bergelar pemain nombor satu dunia selepas mengetepikan pesaing terdekat dari Scotland, Stewart Anderson, dengan kutipan 822 mata keseluruhan.
Jelas atlet berusia 32 tahun itu, dia akan terus berusaha mempertingkatkan prestasi bagi mempertahankan kedudukannya meskipun sedar ia bukanlah tugas mudah.
Atlet kelahiran Ipoh, Perak, itu turut berharap kejayaan ini mampu menjadi titik tolak untuk pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) mempertimbangkan penyenaraian semula sukan boling padang ke dalam Program Podium.
"Nak dapatkan nombor satu pun susah, apa lagi nak kekalkannya.
"Nak tak nak, nak berjaya mesti hadapi halangan.
"Mungkin sekarang kekurangan daripada segi latihan. Kalau diberi peluang (diserapkan) dalam Program Podium, mungkin saya boleh meraih pencapaian lebih baik yang saya idamkan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Untuk rekod, Izzat Shameer muncul atlet boling padang lelaki kedua negara yang menduduki ranking nombor satu dunia selepas Safuan Said pada 2009.
"Saya akan beraksi di samping Hizlee Rais kekalkan kejuaraan Klasik Antarabangsa Hong Kong sebelum ke Auckland, Australia. untuk menjarakkan diri untuk mengakhiri saingan sekurang-kurangnya dengan pingat," katanya.
#boling padang #Program Podium