GOLD COAST 2018
Boling padang: PLBM perlu kenal pasti keupayaan skuad lelaki
Pingat emas tunggal dalam acara berpasangan wanita daripada Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji menjadi penyelamat maruah kontinjen boling padang negara yang hampir menamatkan perjalanan dalam Sukan Komanwel Gold Coast dengan rekod terburuk sejak penyertaan kali pertama sukan ini dalam temasya Kuala Lumpur 1998.
Sebenarnya, tiada harapan tinggi disandarkan kepada Siti Zalina dan Emma dalam acara berkenaan ekoran jurulatih, Simon Botha, meramalkan emas mampu hadir melalui skuad berpasangan lelaki dan berpasukan wanita.
Bagaimanapun, Persekutuan Lawn Bowl Malaysia (PLBM) harus berterima kasih kepada mereka berdua kerana emas itu juga dilihat sebagai talian hayat skuad boling padang negara sekiranya ingin terus dikekalkan dalam Program Podium.
Bertambah mengujakan, mereka berdua bukan sahaja digandingkan buat kali pertama, malah ia juga penampilan sulung negara di pentas akhir acara berpasangan wanita.
Mengungkap prestasi keseluruhan atlet lain, sememangnya ia coretan menghampakan sungguhpun tujuh daripada lapan acara yang disertai melangkah ke suku akhir kecuali trio lelaki yang terkandas di peringkat kumpulan.
Ketika Siti Zalina dan Emma sahaja melangkah jauh, enam daripada mereka gugur di peringkat suku akhir, kekalahan berpasukan lelaki dan wanita selain trio wanita sukar ditelan berikutan faktor nasib tidak menyebelahi skuad negara apabila tewas tipis dalam end terakhir.
Apa yang pasti, Scotland menjadi tembok besar kerana menyumbang punca empat kekalahan wakil Malaysia dalam suku akhir.
Bagaimanapun, satu emas di Gold Coast tidak boleh membuat PLBM sudah boleh tidur lena, sebaliknya perlu mengkaji mengapa atlet lelaki negara masih belum mampu menyumbangkan emas sejak penyertaan dalam enam temasya lalu.