Boling padang: Pemain cilik tidak gentar bersaing
Shaiful Shamsudin
Disember 30, 2022 21:07 MYT
Disember 30, 2022 21:07 MYT
24 tahun setelah menghadiahkan pingat perak buat Malaysia dalam Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, Saedah Abd Rahim masih aktif menyertai Kejohanan Boling Padang yang dianjurkan di dalam negara.
Saedah yang kini mempunyai empat cucu sedang bersaing dalam Kejohanan Boling Padang Fours Di Ambang Tahun Baru Kuala Lumpur di samping tiga lagi bekas tonggak kebangsaan.
"Memang saya ada menyertai kejohanan-kejohanan tapi bukan untuk mewakili negara yang memerlukan komitmen tinggi.
"Anak pun sudah besar, jadi saya menyertai pertandingan untuk kecergasan dan keseronokan," katanya di Stadium Juara hari ini.
Sementara itu, buat seorang lagi bekas pemain negara, Nor Hashimah Ismail, menyertai kejohanan ini untuk kesempatan bertemu dan bersaing dengan rakan-rakan lama daripada pasukan kebangsaan.
Pemenang emas Sukan Komanwel Melbourne 2006 itu kini merupakan jurulatih skuad kebangsaan sambil menyatakan kekagumannya melihat ramai pemain-pemain muda menyertai kejohanan kali ini.
"Pemain dalam lingkungan 9-12 tahun menunjukkan minat terhadap sukan ini.
"Mereka tidak gentar untuk memberi saingan kepada pemain lebih berpengalaman," katanya.