BOLING PADANG
Boling Padang: Daeng Dhadyry kibar cabaran Astro Arena ke Kejohanan Asia
Pemenang pingat emas acara boling padang Sukan SEA Filipina 2019, Daeng Dhadyry Dahasry, yang juga salah seorang penolong penerbit Astro Arena, antara yang mengambil bahagian dalam sesi pemilihan pemain menjelang Kejohanan Asia di Pattaya, Thailand bulan depan.
Daeng Dhadyry, yang menyertai acara fours, berbesar hati dengan pelepasan yang diberikan pihak pengurusan Nadi Arena, yang memberikan sokongan untuk dia tetap meneruskan perjuangan sebagai seorang atlet kebangsaan.
"Sekarang kami masih dalam sesi pemilihan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.
"Secara peribadi, saya berharap saya akan terpilih untuk skuad ini sebab kali terakhir saya mewakili Malaysia adalah pada 2019, jadi sudah hampir lima tahun saya tunggu untuk bermain semula buat skuad negara.
"Ada tiga atau empat hari lagi untuk sesi pemilihan ini dan jika saya tidak dapat sekali pun, saya percaya rakan-rakan saya akan melakukan yang terbaik untuk ke Pattaya dan membawa pulang kejayaan buat Malaysia.
"Jutaan terima kasih buat Astro Arena kerana melepaskan staf untuk mewakili negara dan saya harap pelepasan yang diberikan ini tidak saya sia-siakan untuk membawa pulang kejayaan," katanya.