GOLD COAST 2018
Boling padang: Afrika Selatan halangan terakhir Siti Zalina, Emma gapai emas
Harapan pingat emas menerusi boling padang kini disandarkan kepada pasangan wanita negara, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji, susulan layak ke final Sukan Komanwel 2018 setelah menundukkan lawan dari Kanada, sebentar tadi.
Mereka mengatasi gandingan Leanne Chinery dan Kelly McKerihen 15-8 dengan memimpin permainan sejak awal lagi.
"Debaran dalam separuh akhir berkurangan berbanding aksi dalam suku akhir pagi tadi.
Iklan
"Sebelum memulakan aksi separuh akhir, saya sempat berbincang dengan Emma agar meneruskan momentum sebelum ini, kekal dengan perancangan asal dan tidak mengikut keadaan.
"Alhamdulillah, strategi tadi berjaya," kata Siti Zalina.
Begitupun, Emma enggan terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan hari ini kerana perjuangan mereka belum selesai apabila menanti mereka dalam final nanti merupakan juara temasya Glasgow 2014, Nicolene Neal dan Colleen Piketh dari Afrika Selatan.
"Alhamdulillah, lega kerana dapat melepasi peringkat ini.
"Tetapi, saya belum betul-betul lega kerana masih perlu berjuang esok untuk mendapatkan pingat emas buat negara.
"Kami pernah berjumpa dengan mereka dalam perlawanan persahabatan dan ia berlangsung sengit.
"Insya-Allah, kalau kami mengekalkan momentum hari ini dan berusaha membuat lebih baik lagi esok, maka kedudukan di tengah podium itu milik kami," kata Emma.
Must-Watch Video