Skip to main content

Sukan SEA

Bola sepak: Beto saran skuad B-22 negara kejar impian

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

beto.jpg
Pemain Perak, Khairil Anuar Ahmad atau Beto, menggesa skuad B-22 tahun negara mencapai impian dengan memenangi emas dalam Sukan Sea Kuala Lumpur.

Menurut Beto, ini adalah laungan ikrar yang dibuat bersama-sama ketika dia adalah salah seorang pemain di dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini.

"Doa saya mereka dapat mencapai sasaran yang diimpikan selama ini. Gunakan kesempatan selaku tuan rumah dan realisasikan harapan peminat bola sepak Malaysia," ujarnya.

Beto melihat perkembangan positif skuad negara tapi tidak berselindung dengan perasaan hampanya kerana gagal berjuang bersama rakan-rakan demi menaikkan nama Malaysia.

"Saya agak sedih sebab saya sudah mengikuti perkembangan pasukan B-22 negara sejak awal 2016.

"Bila pemilihan terakhir, saya mengalami kecederaan. Agak hampa."

Kini, fokus Beto tertumpu bersama pasukan Perak dalam mengharungi baki perlawanan Liga Super dan mencari kejuaraan dalam Piala Malaysia.

"Saya masih lagi bekerja keras mendapatkan kembali tempat dalam kesebelasan utama. Lagipun, saya sedang dalam proses mendapatkan kembali sentuhan dan persefahaman sepasukan.

"Apa-apapun, sebelum liga dan Piala Malaysia bermula, saya akan pastikan diri saya 100 peratus bersedia.

"Mengenai menyarung jersi kebangsaan, saya masih meletakkan harapan. Diharap saya bermain cemerlang di sini (Perak) dan berpeluang sekali lagi dipanggil mewakili Malaysia," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video