KL2017
Bola Jaring: Robinson akui bertuah miliki penyerang mantap
“Saya bertuah memiliki dua penjaring hebat," demikian luah ketua jurulatih bola jaring negara, Tracey Robinson, yang berpuas hati dengan kemenangan diraih Malaysia meskipun menurunkan dua penjaring berbeza dalam dua perlawanan setakat ini.
Penjaring berbisa, An Najwa Azizan, diberi kepercayaan diturunkan dalam aksi pertama menentang Thailand semalam untuk membantu pasukan meraih kemenangan 73-30.
Bagaimanapun, percaturan berbeza dilakukan apabila pemain yang memiliki ketinggian 186sm, Norashikin Kamalzaman, pula tidak mensia-siakan peluang mempamerkan aksi mantap ketika Malaysia menewaskan Brunei 64-27, hari ini.
Bagi Robinson, kedua-dua penjaring ini berjaya mencuri tumpuan setakat ini dan ia memberikan kelebihan kepadanya dalam merancang strategi yang lebih baik untuk perlawanan penting menentang Singapura, esok.
"Saya sangat bertuah memiliki penyerang yang berkualiti. Saya juga berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh pertahanan dalam perlawanan ini," katanya.
Norashikin ternyata berpuas hati dengan kemenangan tersebut, lantas enggan sekadar menjadi penonton dalam perlawanan yang bakal menjadi tumpuan berdepan Singapura nanti.
"Saya dapat mencari rentak ketika beraksi dalam perlawanan ini. Saya akan mencubanya sekali lagi untuk perlawanan esok," katanya.