Bola jaring: Malaysia enggan terpedaya helah Singapura

Penulis Jemputan
Ogos 19, 2017 19:27 MYT
Skuad bola jaring negara menganggap pasukan Singapura masih lagi berselindung dengan prestasi sebenar sepanjang kempen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setakat ini sebelum aksi final, esok.
Malaysia tampil dengan aksi cemerlang dalam separuh akhir untuk mara ke final berdepan Singapura -- ulangan final ketika Sukan SEA 2015.
Sejak kempen bermula, skuad negara melakar kemenangan dengan jurang mata yang besar, khususnya ketika menewaskan Filipina 96-11.
Ia berbeza dengan Singapura yang seakan-akan menyembunyikan taring sebenar apabila mereka sekadar mencatat kemenangan dengan jurang kecil sepanjang lima perlawanan terdahulu.
Justeru, skuad negara enggan terpedaya dengan helah juara bertahan itu, sebaliknya mahu terus mempamerkan aksi konsisten bagi merampas kejuaraan.
"Kami gembira mara ke final dan ia satu pencapaian yang bagus, namun kami belum mencapai apa-apa kejayaan lagi.
"Itulah yang saya sentiasa tekankan kepada pemain.
"Aksi perlawanan akhir selalunya sukar dengan hanya melibatkan keputusan mata yang rendah.
"Daripada perspektif jurulatih, saya boleh menyenaraikan semua pemain dengan mereka semua sentiasa bersedia," kata ketua jurulatih negara, Tracey Robinson.
Menyifatkan saiz fizikal lebih memihak kepada tuan rumah, pemain utama Singapura, Nurul Baizura Abdul Razak, percaya strategi hantaran bola rendah lebih efektif bagi mengatasi kecekapan Malaysia.
"Kami akan melihat proses untuk membuat hantaran bola bawah dengan lebih selamat.
"Kurangkan kesilapan, mudah-mudahan penjaring akan lebih tenang esok," katanya.
Sebagai ulangan final Sukan SEA 2015, Malaysia akan berdepan Singapura sekali lagi dengan misi merampas emas.
;