Skuad bola jaring kebangsaan menggunakan kejayaan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, meraih gelaran juara dunia sebagai azimat untuk dibawa ke Kejohanan Asia di OCBC Arena, Singapura.
Lebih menambah keterujaan apabila tiupan kata-kata semangat diberikan Presiden Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dr Norza Zakaria, yang hadir dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.
"Saya berharap pasukan bola jaring negara akan cuba sedaya mendapatkan dua tempat teratas supaya layak ke (Piala Dunia) Afrika Selatan.
"Majlis ini bertujuan menaikkan semangat mereka untuk menaikkan taraf dan imej bola jaring negara.
"Bola jaring adalah salah satu wadah sukan bagi golongan wanita dan kita harus pergiatkan lagi promosi permainan ini," katanya.
Skuad negara menjalani persiapan akhir di Perth pada awal bulan ini sebelum nama 14 pemain dimuktamadkan.
Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli yang pernah membantu negara mendominasi Kejohanan Remaja Asia 2019 berkata fokus mereka adalah peringkat Kumpulan C bertemu Brunei dan Taiwan bagi membina rentak dengan finalis akan layak secara merit ke Piala Dunia tahun depan.
"Pasukan perlu fokus satu persatu peringkat dan perlawanan untuk menjadi kejuaraan yang seterusnya," katanya.
Tambah seorang lagi pemain negara, Nurshamilia Md Samsudin: "Kata-kata tan sri memberi semangat kepada kami.
Kami perlu mencontohi kem badminton yang menjadi juara selepas lama mencuba.
"Jadi sasaran kami pada kali ini ialah menjadi juara."
Skuad negara akan bertolak ke Singapura pada Khamis ini untuk menghadapi perlawanan persahabatan menentang pasukan lelaki kebangsaan di sana sebelum memulakan saingan bertemu Brunei, Sabtu ini.
Shaiful Shamsudin
Tue Aug 30 2022