WTA

Bintang tenis Russia, Belarus tidak digantung -- pengerusi WTA

Muzaffar Musa 16/03/2022 | 04:22 MYT
Pengerusi Persatuan Tenis Wanita (WTA), Steve Simon, mengisytiharkan bahawa pemain tenis Russia tidak sepatutnya dihukum berdasarkan "kepimpinan autoritarian" negaranya di sebalik kembimbangan bahawa mereka mungkin tidak dibenarkan menyertai kejohanan utama.
Jelajah Persatuan Tenis Profesional (ATP) dan WTA membuat keputusan untuk tidak membenarkan pemain Russia dan Belarus mewakili negara masing-masing gara-gara krisis ketenteraan di Ukraine yang masih berterusan, di mana pemain terkemuka seperti Daniil Medvedev kini terpaksa beraksi di bawah panji neutral.
Jelajah tenis itu turut membatalkan perancangan kejohanan mereka di Russia dalam masa terdekat ini.
Menteri Sukan United Kingdom (UK), Nigel Huddleston, mencadangkan agar Medvedev dan rakan-rakan senegaranya digantung daripada menyertai Kejohanan Tenis Wimbledon melainkan mereka menyatakan pendirian tidak menyokong tindakan Presiden Russia, Vladimir Putin.
Bagaimanapun, Pengerusi WTA, Simon, menegaskan bahawa pemain tenis dari Russia dan Belarus akan dibenarkan untuk terus beraksi dalam jelajah itu walaupun beberapa sukan lain sudah mula mengenakan larangan.
"Saya boleh katakan kepada anda bahawa kami tidak pernah menggantung mana-mana atlet daripada menyertai jelajah kami berdasarkan situasi kedudukan politik yang mungkin diambil kepimpinan mereka," kata Simon kepada BBC.
"Jadi, ia memerlukan sesuatu yang amat-amat signifikan untuk ia berubah tetapi sekali lagi, kita tidak tahu ke mana arahnya."
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#WTA #Tenis #Daniil Medvedev
;