MOTOGP
Binder ganti Hafizh Syahrin musim hadapan
Pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder, sah menggantikan posisi Hafizh Syahrin Abdullah dalam pasukan Red Bull KTM Tech 3 dalam saingan MotoGP musim depan.
Ini bermakna khabar angin mengatakan pasukan itu tidak akan menyambung kontrak Hafizh Syahrin tahun depan adalah benar apabila pasukan itu telah mengumumkan kontrak baru dengan pelumba pasukan KTM Ajo itu dalam laman web rasmi pasukan, motogp.teamtech3.fr semalam.
Spekulasi mengenai pasukan itu yang tidak akan mengikat kontrak dengan pelumba negara timbul apabila dia masih tidak ditawarkan kontrak baru oleh KTM berbanding rakan sepasukannya dari Portugal, Miguel Oliveira, yang disahkan bakal menyertai grid kelas MotoGP bersama pasukan Tech3 bagi musim 2020.
Ia susulan prestasi yang dilihat tidak konsisten pada musim ini berbanding penampilan pertamanya musim lalu.
Selepas sembilan pusingan musim ini, pelumba berusia 25 tahun itu hanya mengutip tiga mata dengan meraih penamat ke-14 di GP Perancis, Mei lalu, dan ke-15 di Litar Assen bulan lalu.
Pertukaran jentera kepada KTM turut memainkan peranan kepada prestasi Hafizh Syahrin musim ini, yang menyaksikan dia dan pasukan masih dalam proses 'mengenali' jentera KTM RC16 selepas 20 tahun bersama Yamaha.
Sementara itu, Binder dalam laman Instragam beliau, @bradbinder_41, mengesahkan akan melangkah ke MotoGP tahun depan selepas menandatangani perjanjian setahun dengan KTM untuk menyertai pasukan satelit Tech3 bersama-sama Oliveira.
“Saya sangat gembira untuk mengumumkan bahawa saya akan melangkah ke kelas MotoGP untuk musim 2020 bersama pasukan @redbullktmtech3. Terima kasih Red Bull KTM kerana mempercayai saya.
“Bukan hanya untuk tahun depan tetapi untuk tahun-tahun selama kita bersama. Ia adalah mimpi yang menjadi kenyataan dan saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang membantu karier saya sehingga ke tahap ini,” katanya.
-- BERNAMA