Bertrand Rhodict lanjut pengajian ke menara gading

Ammar Hakim
November 26, 2024 18:25 MYT
Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises akan berusaha untuk mengimbangkan pelajaran dan kerjaya sebagai atlet selepas menyambung pengajian dalam jurusan pengurusan perniagaan di sebuah universiti tempatan.
Olimpian negara itu akan berbincang bersama jurulatih dan pensyarah agar tumpuannya dalam kedua-dua perkara itu tidak terjejas susulan dijangka berdepan jadual padat tahun depan.
Terdahulu, Rhodict menangguhkan pengajian ke prauniversiti bagi memberi tumpuan kepada Kejohanan Terjun Dunia dan Sukan Asia tahun lalu.
Keputusan itu memberikan pulangan lumayan buat atlet kelahiran Sarawak itu apabila muncul sebagai atlet pertama negara layak secara merit ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Sememangnya, debut di temasya berprestij itu memberikan pengalaman berharga buat Rhodict setelah sekadar menamatkan pusingan awal acara 10 meter platform individu di tempat ke-25.
#Malaysia #Terjun #Bertrand Rhodict Lises
;